Oleh: DIANA AMIR
Foto: SHUAIB AYOB
SENI teater merupakan bidang yang kecil di Malaysia dan masih belum mampu untuk mendominasi sebagai salah satu industri di negara ini.
Pelbagai usaha perlu diperkasakan lagi oleh semua pihak bertanggungjawab dalam mengangkat seni teater ke pentas antarabangsa seterusnya mempunyai pelapis muda agar ia tidak terus mati.
Berkongsi pendapat yang sama, pelakon dan juga Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Mohd Shahrul Mizad Ashari, 51, berkata penggiat teater perlu bergerak lebih aktif dalam menjual naskhah mereka.

“Ketika ini bagi saya teater sedang berkembang di Malaysia namun saya tidak mahu ia hanya bermusim.
“Sebagai contoh bulan Oktober para penggiat teater menerima dana, jadi hanya bulan tersebut sahaja yang dipenuhi dengan pelbagai pementasan tetapi selepas tempoh tersebut terus sunyi sepi.
“Semua pengarah teater juga perlu berfikir dan lebih bijak dalam menyusun setiap pementasan agar orang ramai dapat menikmatinya,” ujarnya dalam usaha menyemarakkan seni teater, jadual pementasan yang bertindih memberikan satu kerugian.
Mohd Shahrul berkata sebagai penggiat seni teater juga perlu lebih kreatif dalam mencari ruang dan peluang yang ditawarkan.
“Bantuan daripada kerajaan memang telah diperuntukkan namun para pengkarya tidak boleh duduk diam dengan hanya mengharapkan dana semata-mata. Kalau begitu sampai bila-bila pun bidang ini masih di takuk yang sama.
“Kita sebagai pengkarya perlu pandai bergerak sendiri kerana Malaysia mempunyai banyak bakat baharu yang boleh digilap. Ramai graduan universiti dilahirkan namun ruang serta peluang yang terhad membuatkan pelapis seni teater ini terpaksa bertukar bidang. Ia satu kerugian,” jelasnya kepada Wilayahku.
Berkongsi mengenai Karya Saya… Dari Hujung Kota, Mohd Shahrul yang dikenali sebagai Eijat berkata, membawa watak sebagai pencerita membuatkan dirinya perlu lebih bervariasi bagi setiap babak yang dipersembahkan.
“Saya sudah berpengalaman dalam pelbagai pementasan namun kali ini antara cabaran terbesar adalah dari segi penggunaan bahasa yang klasik.
“Setiap dialognya sangat puitis dan mempunyai makna yang dalam dan perlu dilontarkan dengan tepat agar penonton dapat memahami dan berfikir mengenainya,” katanya sebagai pencerita, dirinya merupakan penentu bagi graf pementasan tersebut. – WILAYAHKU