Berita

Penggantungan Perlembagaan NAFAS: Urusan bekalan baja padi tidak terjejas

- Diterbit 19 November 2024 2:16 PM MYT

URUSAN perniagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang melibatkan pembekalan baja padi kepada pesawah tidak terjejas biarpun Perlembagaan pertubuhan itu digantung.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, malah perkara itu berjalan seperti biasa di bawah bidang kuasa Pentadbir NAFAS.

Menurut beliau, operasi, obligasi dan kewajipan NAFAS kepada mana-mana pihak ketiga juga tidak terjejas dan akan dilaksanakan serta diteruskan Pentadbir yang dilantitk Pendaftar Pertubuhan Peladang.

“Sepanjang tempoh penggantungan ini, Pendaftar Pertubuhan Peladang akan memantau urusan harian NAFAS di samping menambah baik tadbir urus dan tatakelola NAFAS bagi memperkasa semula NAFAS secara holistik.

“Ini untuk memastikan NAFAS beroperasi mengikut hala tuju dan spirit penubuhan NAFAS selaras dengan perundangan yang sedang berkuat kuasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai perkembangan semasa kontroversi yang berlaku dalam NAFAS.

Mohamad berkata, berdasarkan Laporan Pengauditan Khas Tahun 2018 oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang, terdapat 42 isu tadbir urus dan tatakelola ditemukan yang perlu kepada tindakan serta penambahbaikan.

Namun katanya, tindakan penambahbaikan tidak dapat dilaksanakan akibat peralihan kerajaan pada ketika itu.

“Walau bagaimanapun, antara perkara awal yang saya laksanakan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan adalah dengan mewartakan NAFAS sebagai badan awam di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membolehkan NAFAS disiasat di bawah akta ini.

“Selain itu, saya juga telah mengarahkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pemantauan Bagi Pemantapan Tatakelola NAFAS bermula 7 Februari sehingga 31 Oktober lalu.

“Hasil laporan daripada pihak jawatankuasa khas ini menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk melaksanakan reformasi menyeluruh ke atas tadbir urus dan tatakelola NAFAS,” katanya.

Kepada soalan tambahan Tze Tzin mengenai dakwaan berlakunya kecelaruan kepimpinan, beliau berkata, ketika ini NAFAS sudah disiasat SPRM dan pihaknya tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa.

“Sama ada bekas menteri atau menteri yang ada sekarang, jangan tuduh-menuduh, kita minta SPRM siasat dan kita beri kerjasama,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas