PENGERUSI Perbadanan Labuan (LC) yang baharu dilantik Senator Datuk Bashir Alias berikrar untuk mengurangkan birokrasi yang masih wujud dalam pihak berkuasa tempatan.
Beliau menerima surat pelantikan daripada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim minggu lepas.
“Birokrasi adalah isu yang sering diperkatakan oleh orang ramai yang kerap melakukan transaksi dengan LC. Memandangkan kita berada dalam era teknologi canggih, kita mesti menghapuskan birokrasi dan memudahkan urusan rakyat secepat mungkin,” katanya kepada Bernama hari ini.
Bashir ialah pengerusi majlis penasihat LC sebelum pelantikannya sebagai pengerusi LC untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Julai 2022.
Bashir berkata isu lain yang perlu ditangani termasuk dasar, sewa dan cukai.
“Rakyat mengadu mereka terjejas dari segi kewangan dengan kadar taksiran baharu, cukai pintu, sewa kiosk bulanan di bangunan UTC Pasar Sentral.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk menangani isu-isu ini dan mengadakan penyelesaian menyeluruh kepada rakyat,” katanya.
Pihak berkuasa tempatan harus berfungsi sebagai pemudah cara kepada pengguna dan komuniti, katanya dan menambah bahawa birokrasi sifar dalam PBT akan menarik pelabur dan komuniti perniagaan untuk menjalankan perniagaan di pulau bebas cukai ini. — BERNAMA