Berita

Pengecualian visa 30 hari buat pelancong China, India

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 November 2023 12:25 PM MYT

KERAJAAN memberikan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Disember ini dalam semangat ‘strategic partnership‘ hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun, tahun depan kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ia adalah tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari Negara Teluk dan lain-lain negara di Asia Barat.

Bagaimanapun Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pengecualian visa itu tertakluk kepada tapisan keselamatan.

“Tapisan awal akan dibuat bagi semua pelancong, pelawat ke negara Malaysia. Soal keselamatan itu berasingan, kalau ada rekod jenayah ataupun risiko keganasan maka mereka tidak akan dibenarkan (masuk).

“Ini wewenang pasukan keselamatan dan imigresen,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang dihadiri 1,391 perwakilan dan 1,269 pemerhati di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas