Berita

Pengecualian cukai pendapatan kepada entiti Labuan disambut baik

KEPRIHATINAN Kerajaan Perpaduan terhadap Labuan disambut baik PL.
- Diterbit 19 Oktober 2023 7:55 PM MYT

Oleh KHAIRUL IDIN

CADANGAN pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya selama lima tahun kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perdagangan berkaitan kewangan Islam yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 dilihat mampu melonjakkan ekonomi pulau itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (Perbandaran), Fadzilah Mahmud berkata pelaksanaan yang dibentangkan kerajaan disambut baik pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita berharap pengecualian cukai pendapatan selama lima tahun ini mampu menarik lebih banyak lagi pelabur luar untuk melabur di Labuan, sekali gus menjadikannya sebagai hub kewangan Islam,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

ANIFAH

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Labuan, Tan Sri Anifah Aman turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Kerajaan Perpaduan dalam usaha pembangunan Pusat Perniagaan Dan Kewangan Antarabangsa Labuan sebagai hub kewangan islam yang patuh syariah sepenuhnya.

Beliau berkata dengan pengecualian cukai tersebut akan meningkatkan lagi potensi Labuan untuk menarik para pelabur dalam teknologi kewangan yang pakar dalam kewangan Islam.

“Ini seterusnya mengembangkan lagi ekonomi dan mencipta pekerjaan nilai tinggi serta meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu mengumumkan kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan sepenuhnya selama lima tahun kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perdagangan berkaitan kewangan Islam seperti perbankan digital Islam, bursa digital Islam, syarikat berkaitan ummah dan pengeluar token digital Islam mulai tahun taksiran 2024. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas