RATU Pop Indonesia, Datuk Seri Rossa, sekali lagi membuktikan statusnya sebagai ikon muzik serantau apabila berjaya menawan Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini.
Konsert ‘Here I Am’ menarik kehadiran lebih 10,000 penonton, sekali gus menjadi bukti kukuh pengaruhnya yang tidak pernah pudar.
Pencapaian itu menandakan satu lagi detik bersejarah dalam karier Rossa, sekali gus membuktikan kerjaya penyanyi berusia 46 tahun itu masih utuh biarpun setelah tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni.
Konsert itu boleh dianggap ‘come back’ Rossa di Axiata Arena setelah kali terakhir dia membuat persembahan di sana sekitar 15 tahun lalu.
Dalam ucapan pembukaannya, Rossa meluahkan rasa syukur dan terharu di atas sokongan padu yang tidak berbelah bahagi.
“Alhamdulillah akhirnya saya dapat kembali lagi ke Axiata Arena. Saya selalu menganggap Malaysia sebagai negara kedua, kerana anda menerima saya seperti salah satu keluarga,” katanya.
Antara tetamu istimewa yang hadir ialah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nora Danish, Dayang Nurfaizah dan Bella Astillah.
Rakan artis dari Indonesia yang turut hadir ialah Melly Goeslaw, Ivan Gunawan dan Ruben Onsu.
Pada malam itu, Siti Nurhaliza dan Rossa berduet menyampaikan lagu Percayalah secara spontan.
Dalam konsert berdurasi lebih tiga jam itu, Rossa mempersembahkan lebih 30 buah lagu hitsnya.
Beliau turut menampilkan barisan bintang undangan terkenal seperti Ariel, Ernie Zakri, MK K-Clique, Dipha Barus, Hael Husaini dan Eka Gustiwana.
Pada malam itu, Rossa turut membawakan lagu terbarunya bersama Dipha Barus berjudul Serasa X Juwita, serta sebuah lagu baharu bersama MK K-Clique berjudul Sinaran yang bakal dimuatkan dalam album mini Asmara Dansa.
Judul konsert ‘Here I Am’ dipilih penyanyi ini sebagai refleksi perjalanan peribadi dan kariernya.
“Secara peribadi, saya ingin mengajak setiap yang mendengar lagu-lagu saya untuk menerima keadaan diri tanpa rasa rendah diri. Sebagai penyanyi, konsert ini menjadi penanda aras karier saya,” katanya. – WILAYAHKU