Berita

Pengaruh influencer: Terbuka terima teguran

- Diterbit 22 Mei 2025 1:51 PM MYT

PERSONALITI media sosial harus terbuka menerima teguran dan memohon maaf sekiranya melakukan kesilapan supaya tidak dilabel besar kepala.

Pencipta kandungan, Ryan Bakery yang sudah berkecimpung dalam dunia penghasilan kandungan sejak 2021 tidak mahu disebabkan sikap segelintir golongan itu memberi kesan kepada pempengaruh lain.

Ryan berkata mereka yang bergelar pencipta kandungan perlu lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti sebelum memuat naik kandungan di media sosial.

“Tidak semua penonton boleh menerima kandungan kita kerana penerimaan setiap orang berbeza, jadi perlu berhati-hati setiap kali menghasilkan apa saja kandungan.

RYAN

“Kerjaya pempengaruh bukan untuk meraih populariti, saya anggap ia sudah menjadi seperti satu kerjaya. Kalau boleh saya nak bertahan lama.

“Bukan hari ini dikenali, kemudian esok lusa hilang. Jadi saya memang tidak setuju apabila ada pencipta kandungan bersikap biadap.

“Kami bersusah payah menaikkan nama pencipta kandungan sebagai satu kerjaya tapi disebabkan sikap beberapa individu, orang lain yang terkena tempiasnya,” kata Ryan.

Ryan mendedahkan dia juga pernah ditegur sebelum ini kerana memakai rambut palsu namun menerima dengan hati terbuka teguran itu.

Tambah Ryan tidak salah untuk merendahkan ego kerana keangkuhan hanya memakan diri sendiri.

“Saya juga pernah buat silap, tapi bila buat silap kena segera minta maaf.

“Seperti kes yang heboh baru-baru ini, nasi dah jadi bubur. Minta maaf saja dan jadilah seorang yang profesional.

“Bila sikap ego tinggi, perkara itu sebenarnya akan menyusahkan. Kita semua kena jadikan apa yang berlaku baru-baru ini sebagai pengajaran, memanglah kita masih muda tapi kita tak tahu perasaan orang yang lebih tua dari kita,” katanya.

Mereka yang mempunyai jutaan pengikut tetapi sentiasa merasakan diri hingga tidak boleh ditegur disifatkannya sebagai seorang yang tidak sedar diri.

Tanpa penyokong selama ini katanya mereka tidak mungkin berada pada tahap sekarang serta berjaya mengumpul jutaan pengikut.

“Pempengaruh yang memiliki jutaan pengikut tapi tidak boleh ditegur bermakna dia seorang yang tidak sedar diri.

“Kehadiran kita di sini sehingga diterima di arus perdana pun kerana orang suka pada kita.

“Jadi jangan sia-siakan peluang dan kepercayaan yang sudah diberikan supaya kerjaya dan periuk nasi kita tidak terjejas gara-gara keegoan,” kata Ryan. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas