SIKAP beberapa individu yang terkenal di media sosial, digelar influencer atau pempengaruh, menyentuh sensitiviti, privasi mahupun perihal orang lain sehingga mengundang kritikan, kecaman termasuk diambil tindakan undang-undang, membuka mata semua pihak mengenai keberadaan mereka.
Ada yang mempersoal kedudukan atau pangkat yang dijawat mereka ketika ini, selain persoalan mengenai sejauh mana pengaruh yang dibawa memberi manfaat terhadap orang lain melalui isi kandungan (konten) dihasilkan di laman media sosial.
Tak kurang juga yang mengkritik kandungan dihasilkan sekadar hiburan kosong semata-mata dan langsung tidak berfaedah.

Ini termasuk kandungan bersifat mengejek atau mempermain-mainkan nama orang lain, bersifat jelik dan kandungan-kandungan berbaur palsu atau mengejar pengikut serta view sahaja.
Namun tidak dinafikan ada pempengaruh yang menampakkan sisi positif melalui kandungan yang diketengahkan kepada khalayak.
Biarpun begitu, Timbalan Pengarah (Pengurusan Strategik) Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Nur Izura Udzir berkata, apabila menyebut tentang pempengaruh, apa saja dilakukan, baik mahupun buruk, boleh mempengaruhi serta memberi kesan kepada penonton dan pengikut.
Beliau mengingatkan mereka yang terlibat dalam penciptaan kandungan supaya berhati-hati memuat naik apa saja bahan mahupun kata-kata di media sosial kerana boleh mencetuskan tafsiran yang berbeza.
Definisi pempengaruh ialah individu yang boleh mempengaruhi orang lain tidak kira dikenali ramai ataupun tidak.
“Pemahaman pengguna media terhadap sesuatu kandungan itu berbeza mengikut kepada latar belakang dan pendidikan.
“Ada yang mengambilnya dari sudut positif dan ada yang melihat dari sudut negatif. Sesetengahnya pula merupakan jenis yang mudah terasa kerana merasakan hantaran itu ditujukan kepada mereka,” katanya kepada Wilayahku.
Nur Izura menambah, sebagai pempengaruh, jalan terbaik untuk mereka adalah dengan memaparkan kandungan positif di media sosial.
Walau bagaimanapun, katanya sesetengah individu yang menjadi pempengaruh tiba-tiba tular hanya disebabkan posting atau hantaran mereka di media sosial.
Namun, beliau tetap mengingatkan personaliti media sosial supaya berhati-hati menggunakan perkataan terutama sewaktu sesi secara langsung kerana dibimbangi ada perkataan-perkataan kurang sesuai disuarakan hingga memalukan diri.
“Pepatah terlajak perahu boleh diundur tidak relevan dalam dunia digital. Walaupun hantaran sudah dipadamkan, tetapi ada yang sempat menangkap layar dan kemudian menyebarkan semula kandungan itu.
“Hantaran itu akan terus kekal di media sosial sampai bila-bila, jadi sebelum menulis apa-apa atau menghasilkan video fikirlah banyak kali.
“Jika kandungan yang baik tidak mengapa tetapi bagaimana jika sebaliknya?” Soal Nur Izura.
Ditanya apakah nasihat yang boleh dititipkan kepada pempengaruh atau mereka yang ingin bergelar pempengaruh, beliau menegaskan bahawa tugas pempengaruh juga datang bersama amanah.
“Jagalah kemasyhuran yang diberikan itu dengan rasa tanggungjawab dan amanah. Sama ada mereka minta untuk jadi popular ataupun tidak, tetap ada tanggungjawab.
“Apa yang ditulis, dimuat naik semuanya boleh mempengaruhi orang lain. Ada hantaran yang boleh memberikan manfaat tapi mungkin sesetengah hantaran pula boleh buat orang lain merasa ‘down’, jadi berpada-padalah dengan apa yang kita buat.
“Janganlah sekadar menghasilkan kandungan untuk mendapatkan ‘engagement’ sehingga tergamak menghasilkan kandungan tidak berfaedah dengan alasan sekadar untuk suka-suka,” katanya.
“Ibu-bapa juga perlulah memantau dan didik anak-anak mengenai kandungan yang patut ditengok,” katanya. – WILAYAHKU