KEPETAHANNYA berbahasa Melayu dengan lancar menyebabkan dia dikenali dalam kalangan kaum Melayu.
Boss James atau nama sebenarnya Ng Yee Sheng, 32, mula berkecimpung dalam dunia penghasilan kandungan digital sejak 2019.
Bermula dengan perkongsian mengenai dunia permotoran, graduan Ijazah Sarjana Pemasaran dari Universiti Nebrassa-Lincoln, Amerika Syarikat itu mula mendapat perhatian daripada video pendek berupa pesanan yang menerapkan nilai-nilai murni.
Boss James juga kerap diundang ke sekolah-sekolah untuk berkongsikan inspirasi kejayaannya kepada golongan muda.
“Pempengaruh adalah seseorang yang memiliki kebolehan mempengaruh. Untuk menjadi pempengaruh yang bagus, mereka perlu rajin menghasilkan kandungan bermanfaat.
“Apa yang disampaikan akan mempengaruhi hidup dan memberikan kesan berbeza kepada setiap individu. Ibaratnya seperti barang, barang yang baik tentu memberi manfaat berbanding barang yang buruk.
“Saya terjebak dengan dunia media sosial asalnya untuk menyebar luas mengenai perniagaan permotoran yang diusahakan.
“Dari situ saya mula berjinak-jinak menjadi ‘influencer’ secara serius. Apabila sudah berada dalam bidang ini, timbul rasa tanggungjawab untuk menyebarkan perkara yang berfaedah supaya dapat melahirkan lebih ramai rakyat yang baik,” katanya yang sudah hampir enam tahun bergelar pempengaruh.
Jelas Boss James setiap pempengaruh mempunyai pilihan masing-masing mengenai kandungan yang ingin diketengahkan.
Katanya sesetengah pempengaruh memilih kandungan negatif bukan disebabkan mereka ‘jahat’ tetapi ada yang terpaksa berbuat demikian demi tarikan.
“Pilihan itu di tangan kita, kita harus bersedia menghadapi risiko kecaman, berdepan dengan tindakan perundangan sivil atau jenayah. Tanpa ilmu kita tidak cukup persediaaan untuk berdepan dengan risiko tersebut.
“There’s good in every bad thing and there’s bad in every good thing,” katanya.
Bagaimanapun, nasihat Boss James yang sanggup membelanjakan ratusan ribu semata-mata untuk mempelajari ilmu pemasaran digital, semua orang boleh menjadi pencipta kandungan tetapi mereka harus mengetahui kesan daripada setiap kandungan dihasilkan.
“Ramai mahu menjadi pencipta kandungan kerana terpengaruh dengan pendapatan lumayan yang disiarkan di media sosial.
“Kebanyakan mereka teruja untuk meraih kejayaan dalam tempoh singkat, tapi bukan itu yang mereka patut fokuskan. Mereka sepatutnya memfokuskan kepada nilai yang ingin disampaikan kepada pengikut.
“Mungkin hari ini mereka jadi tular tetapi tidak bermaksud pada masa depan populariti itu akan terus berada pada tahap yang sama.
“Jadi mereka patut fikirkan apa yang boleh dilakukan untuk memastikan dapat bertahan dalam perniagaan dan dunia penciptaan kandungan yang dihasilkan,” katanya.
Boss James juga menasihati anak muda yang ingin bergelar pempengaruh agar memiliki ilmu dan mengutamakan pelajaran kerana sukar untuk ‘survive’ tanpa ilmu.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga baru-baru ini melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) bagi memberikan pendedahan kepada pelajar dan guru berkaitan keselamatan dalam talian serta langkah-langkah melindungi diri daripada ancaman siber yang semakin membimbangkan.
Pelaksanaan KIS ini dilihat selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan keselamatan digital, seiring dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi. – WILAYAHKU