GOLONGAN pempengaruh media sosial perlu menggunakan kehebatan atau kelebihan dimiliki mereka dalam aspek komunikasi atau kreativiti ke arah kebaikan terutama dalam membantu masyarakat menjadi lebih maju, membangun dan bertamadun.
Demikian ditegaskan Pakar Sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran yang melihat sisi baik golongan yang digelar influencer (pempengaruh) itu dan peranan mereka dalam kemasyarakatan.
Malah beliau mahu mereka melakukan tugas tersebut dengan jujur atau memainkan peranan dengan baik.
“Sebenarnya peranan mereka ini penting bagi pembangunan sesebuah masyarakat atau dalam lingkungan bisnes, memajukan produk jualan.

“Tidak dinafikan sumbangan mereka dalam perkara ini memang tak boleh dipertikaikan terutama kepada influencer yang mempunyai pengaruh yang besar dan ayat-ayat yang dikeluarkan, tindakan-tindakan dan gerak-geri mereka semuanya memberikan peranan dan impak kepada masyarakat secara keseluruhannya,” katanya kepada Wilayahku.
Jelas beliau impak keberadaan mereka dalam media sosial yang menjadi platform utama anak-anak muda mendapatkan sesuatu maklumat, boleh secara positif atau sebaliknya.
Katanya untuk itu sudah pasti sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab kepada pembangunan dan kemajuan, mereka seharusnya menggunakan kehebatan dimiliki ke arah kebaikan.
“Kita tak mahu kelebihan yang dimiliki itu disalah guna sehingga menimbulkan kekacauan, kekeliruan atau rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.
“Jadi peranan ini harus disedari oleh setiap influencer dalam masyarakat dan sekiranya digunakan untuk tujuan kebaikan memang impaknya terlalu besar kepada kebaikan, kemajuan sesebuah negara dan masyarakat,” katanya.
Justeru jelas beliau apabila ingin melibatkan diri dalam apa jua aktiviti, influencer perlu bersandarkan kepada kebenaran dan kejujuran.
“Contohnya jika buat review makanan, maka makanan itu seharusnya sudah dicuba atau dimakan dan apabila ia sedap dan sesuai dengan cita rasa maka barulah disebut perkara yang seharusnya.
“Apa yg kadang-kadang berlaku apabila yang mengejar bayaran, mereka tidak lihat kepada realiti sehingga ada makanan-makanan yang tidak sedap atau tidak baik tetapi dikhabarkan sebaliknya.
“Oleh kerana mereka yang bercakap itu merupakan orang yang dipercayai, orang lain tertipu sehingga membeli makanan tersebut,” katanya.
Beliau seterusnya menghargai peranan influencer tetapi mereka perlu melaksanakan sesuatu tugas dengan jujur bagi mengelak berlakunya kekeliruan dan kepincangan dalam masyarakat.
Terdahulu beliau mengulas mengenai beberapa influencer yang menimbulkan isu-isu tertentu sehingga memaksa pengguna media sosial ditarik bersama dalam ‘drama’ isu yang mereka permainkan.
Ini seterusnya menimbulkan kekacauan dan perang siber antara pihak yang menyokong influencer tersebut dan pihak selain daripadanya.
Ada juga kalangan mereka yang saling menyerang antara satu sama lain sehingga menimbulkan ketidakharmonian sesama masyarakat, hanya kerana influencer. – WILAYAHKU