PENERIMA subsidi RON95 akan dikenal pasti berdasarkan perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW).
Ia susulan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi tersebut pada pertengahan tahun depan seperti dimaklumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025, 18 Oktober lalu.
Penentuan penyasaran semula subsidi RON95 itu akan memastikan majoriti rakyat atau 85 peratus, kekal menikmati subsidi berkenaan.
Menurut Kementerian Ekonomi, melalui PAKW, peralihan daripada pengkelasan pendapatan kasar kepada pendapatan boleh guna bersih akan memastikan penentuan kelayakan penerima bantuan yang lebih adil.
“Kaedah ini telah mengambil kira faktor yang dapat memberi gambaran lebih lengkap mengenai kedudukan sebenar kewangan isi rumah.
“Ia dengan mengenal pasti jumlah amaun sebenar yang boleh digunakan setelah ditolak semua potongan wajib seperti cukai pendapatan, zakat dan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai subsidi RON95.
Kementerian Ekonomi menambah, proses mengenal pasti jumlah amaun sebenar itu membolehkan penilaian yang lebih realistik terhadap kemampuan isi rumah dalam memenuhi keperluan kehidupan.
Di samping itu katanya, penggunaan pendapatan boleh guna bersih akan dapat mengurangkan ralat keciciran dalam pengagihan bantuan.
“Ia memastikan golongan yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan,” katanya. – WILAYAHKU