WISMA Putra telah menyerahkan maklumat mengenai penemuan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia di medan pertempuran antara Ukraine dan Russia kepada pihak berkuasa berkaitan untuk pengesahan.
Dalam kenyataan ringkas kepada media, Wisma Putra memaklumkan buat masa ini pihaknya tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.
“Kementerian Luar Negeri mengambil maklum mengenai artikel yang mengatakan MyKad dan lesen memandu Malaysia telah ditemukan di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.
“Buat masa ini, kami tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut. Ia telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan,” katanya.
Wisma Putra menambah, oleh yang demikian semua pihak termasuk orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai berita berkenaan.
“Kami juga ingin menekankan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu masing-masing.
“Walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri,” katanya.
Terdahulu sebuah portal menyiarkan laporan mengenai tular sekeping gambar menunjukkan dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia termasuk lesen memandu yang didakwa ditemukan di medan pertempuran antara Ukraine dan Russia.
Gambar dokumen itu tular di beberapa saluran Telegram dikendalikan pemerhati perang pro-Russia. – WILAYAHKU