Berita

Penduduk zahir terima kasih

KERJA menaik taraf balai raya dan dewan terbuka sedang giat dilaksanakan
- Diterbit 6 September 2024 3:50 PM MYT

DAHULUNYA Kampung Belukut yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar merupakan sebuah kampung yang serba kekurangan daripada segi pembangunan infrastruktur kemudahan asas.

Namun pada bulan Mei lalu kampung tersebut telah diiktiraf sebagai Kampung Angkat Madani.

Pengiktirafan tersebut mengubah nasib kampung yang didiami lebih 600 penduduk ke arah yang lebih baik serta pembangunan kemudahan infrastruktur dinaik taraf meliputi kemudahan bekalan air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, Internet dan kemudahan penduduk.

Inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 lalu memberikan nafas baharu kepada penduduk kampung itu dengan peruntukan RM2.5 juta daripada kerajaan menerusi Kementerian Kewangan.

Menurut Ketua Kampung Belukut, Asmadi Ahmad, pihaknya menzahirkan penghargaan dan terima kasih khususnya kepada kerajaan dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) kerana memilih Kampung Belukut sebagai Kampung Angkat Madani.

Katanya pengiktirafan besar tersebut amat memberi makna yang mendalam kepada pihaknya khususnya warga kampung.

“Antara projek yang telah diluluskan adalah naik taraf balai raya, gelanggang futsal serta pembinaan dewan terbuka, kebun komuniti, papan tanda dan jalan raya konkrit di semua simpang kampung.

“Kami amat bersyukur dan menghargai usaha pihak kerajaan demi kesejahteraan warga kampung. Penambahbaikan tersebut mampu meningkatkan penglibatan penduduk dengan pelbagai aktiviti dan program yang memberikan kesan positif khususnya dalam menaikkan taraf hidup.

“Saya percaya taraf hidup penduduk di sini akan lebih baik dan lebih maju ke hadapan dalam pelbagai aspek terutamanya golongan anak muda,” katanya ketika dihubungi.

Bagi penduduk kampung, Azhari Razak, 49, dia berharap inisiatif itu mampu menjadikan kampungnya lebih berdaya saing dan menjadi kampung contoh terbaik.

“Saya akui kampung ini sangat ketinggalan dan isu tersebut telah disuarakan selama bertahun-tahun, namun akhirnya kami dapat menikmati kemudahan yang selesa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas