SERAMAI 1,000 orang penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg. Muhibbah menerima suntikan vaksin di bawah Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah, pagi ini.
Menerusi kenyataan media, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, program vaksinasi ini diberi keutamaan kepada warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang telah didaftarkan.
“Kesemua penerima telah dijadualkan mengikut slot yang tertera di dalam aplikasi MySejahtera masing-masing.
“Sebanyak dua (2) unit trak vaksin bergerak MYMedic@Wilayah digunakan dengan setiapnya mempunyai kapasiti 500 dos vaksin,” katanya.

Menurut Annuar, proses vaksinasi yang dijadualkan selama sehari itu bermula seawal jam 9 pagi hingga 4 petang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Tambahnya, pergerakan penerima vaksin dikawal selia oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM), Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), WATANIAH dan anggota RELA bagi mengelakkan berlakunya kesesakan dengan mengikut penjarakan fizikal yang ditetapkan.
Mengulas lanjut mengenai program vaksinasi bergerak, beliau berkata, program ini adalah hasil kerjasama strategik Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Ujarnya, pelaksanaan program ini adalah sebahagian daripada tujuh Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 (IWC 5.0) bagi memastikan 80 peratus warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selesai divaksinasikan pada penghujung Ogos 2021.
“Sasaran keseluruhan program imunisasi kepada semua warga PPR dan PA DBKL yang lain di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dijadualkan selepas 7 Jun dan dijangka selesai keseluruhannya pada Oktober 2021,” jelasnya mengenai penjadualan vaksinasi bergerak kepada warga WP.
Dalam pada itu, beliau berharap agar matlamat utama program vaksinasi ini membolehkan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapat akses untuk vaksinasi COVID-19 dengan lebih pantas supaya penularan wabak ini dapat dikekang dalam kalangan komuniti.
Sebelum ini, Annuar telah mengumumkan IWC 5.0 bagi membantu golongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan tumpuan diberikan di kawasan Perumahan Awam (PA), Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta kampung tradisional seawal bulan Jun 2021. – WILAYAHKU -HAZIRAH HALIM