Berita

Penduduk Malaysia telan 502.3mg mikroplastik sehari: Tiada beg plastik sekali guna menjelang 2026

- Diterbit 7 November 2024 11:10 AM MYT

KERAJAAN sedang mempertimbangkan untuk menghentikan sepenuhnya beg plastik sekali guna seawal 2026 di seluruh negara.

Komitmen itu ditegaskan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRECC) susulan artikel diterbitkan pada 21 Mei lalu yang mengatakan Malaysia telah dikategorikan sebagai negara yang rakyatnya paling banyak memakan mikroplastik yang dianggarkan sebanyak 15 gram sebulan atau 502.3 miligram (mg) mikroplastik sehari per kapita.

Menurut NRECC, kajian tersebut mengaitkan dengan tabiat pemakanan ikan dan makanan laut.

“Dalam hal ini, berkemungkinan perkara ini terjadi akibat daripada pencemaran sisa plastik yang ‘terlepas’ atau ‘tidak dapat dikutip’ atau ‘terbuang’ sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ke dalam persekitaran (leakage of plastic waste into the environment) yang akhirnya akan mengalir ke sungai, saliran dan seterusnya ke lautan.

Perkara ini juga dikaitkan dengan marine litter atau marine debris,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

NRECC menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman (PN-Kubang Pasu) yang meminta penjelasan kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik 2018-2030 dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik 2021-2030.

NRECC menambah, pihaknya telah menerima maklum balas positif daripada sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing yang telah dijalankan di sembilan buah negeri mengenai dasar ‘tiada beg plastik sekali guna’.

Katanya, libat urus seterusnya akan dijalankan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

“Negeri-negeri yang telah melaksanakan dasar ‘tiada beg plastik sekali guna’ adalah Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan di Kota Kinabalu, Sabah.

“Wilayah Persekutuan secara dasarnya juga tidak lagi memberikan beg plastik sekali guna (konvensional) dan menggalakkan kepada beg plastik biodegradasi,” katanya.

Jelas kementerian itu, pihaknya komited dan yakin kempen serta sesi libat urus berterusan yang melibatkan semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan pelestarian plastik ini.

“Oleh yang demikian, kementerian akan terus dan kekal bekerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak industri dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Pada masa yang sama kerajaan akan berusaha untuk terus menambah baik pengurusan plastik secara lestari termasuk menangani pencemaran sisa plastik di ekosistem marin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas