Berita

Penduduk Malaysia meningkat kepada 34 juta orang

Gambar hiasan
- Diterbit 14 Mei 2024 5:53 PM MYT

JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan penduduk Malaysia pada suku tahun pertama 2024 dianggarkan seramai 34 juta, meningkat 2.3 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 iaitu 33.2 juta.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tersebut disumbangkan oleh pertambahan semula jadi yang positif bagi warganegara dan juga pertambahan penduduk bukan warganegara.

Menurut beliau, jumlah penduduk tersebut merangkumi 30.6 juta (90 peratus) warganegara dan 3.4 juta (10 peratus) bukan warganegara.

“Penduduk lelaki meningkat kepada 17.8 juta daripada 17.4 juta pada suku tahun pertama 2023 dan perempuan meningkat kepada 16.1 juta daripada 15.8 juta bagi tempoh yang sama.

“Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan”.

Sementara itu, jelas Mohd Uzir, komposisi penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) kekal tidak berubah pada 2.5 juta.

Beliau turut menyatakan jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 9.4 peratus (106,386 kelahiran) berbanding 117,413 kelahiran pada suku tahun pertama 2023.

“Sebanyak 47,964 kematian telah direkodkan pada suku tahun pertama 2024, penurunan sebanyak 1.5 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 dengan 48,693 kematian,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas