Berita

Pendatang, pelajar 7 tahfiz tidak berdaftar dijejaki

ANNUAR pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan di Pejabat Majlis Keselamatan Negara Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 20 Mac 2020 8:33 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sebahagian penuntut tujuh buah pusat tahfiz dan pengajian agama yang tidak berdaftar di sekitar ibu kota akan dijejaki bagi membolehkan mereka menjalani saringan pemeriksaan Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka dipercayai merupakan sebahagian daripada kira-kira 3,000 peserta Ijtimak Jemaah Tabligh di Seri Petaling di sini baru-baru ini.

“Mereka diharap dapat tampil membuat pemeriksaan secara sukarela.

“Kita akan cari jalan temui mereka, kita akan jejaki untuk membantu. Jangan lari kerana kita hendak membantu mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan di Pejabat Majlis Keselamatan Negara Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Aminuddin Hassim.

Annuar berkata, kerajaan turut meminta warga kota yang terdiri daripada golongan warga asing termasuk pemegang kad pelarian UNHCR dan pendatang tanpa izin dapat bekerjasama membuat saringan pemeriksaan kesihatan secara sukarela.

“Kalau arahan kita tidak dipatuhi oleh mereka, ia boleh memberi kesan buruk, mereka menjadi tanggungjawab kita, kesihatan tidak mengenal kewarganegaraan,” katanya.

Kata Annuar, segelintir mereka tidak buat saringan pemeriksaan kerana bimbang ditangkap oleh pihak berkuasa.

“Saya seru kelompok ini supaya faham keadaan bahawa soal jangkitan Covid-19 sangat serius dan pohon mereka beri kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khusus bagi membincangkan soal gelandangan yang didapati tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas