PENDARATAN ikan di Labuan mencatatkan sedikit penurunan sepanjang tahun lepas dengan pendaratan 1,692 tan metrik berbanding 2,087 tan metrik pada tahun sebelumnya.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Labuan, Fadhilah Azib berkata punca utama yang menyebabkan penurunan itu adalah cuaca buruk, kekurangan anak kapal, kerosakan kapal nelayan dan kekurangan sumber laut.
“Cuaca buruk, termasuk angin kencang dan laut bergelora, dikenal pasti sebagai faktor utama yang menjejaskan aktiviti menangkap ikan di pulau ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata LKIM khuatir dengan penurunan ini, lantas menekankan kepentingan kepada semua pihak untuk memahami dan menangani kesan corak cuaca terhadap perikanan tempatan.
“Pihak berkuasa bekerjasama rapat dengan komuniti nelayan untuk membangunkan strategi yang boleh mengurangkan kesan cuaca tidak menentu terhadap industri, kerana ia turut menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan kita,” katanya.
Fadhilah berkata Labuan sebagai penyumbang penting kepada sektor perikanan Malaysia, terus komited untuk mengekalkan keupayaan industri perikanannya dan memastikan kesejahteraan masyarakat tempatan yang bergantung kepadanya.
“Pihak berkuasa optimistik mengenai prospek pemulihan dan pertumbuhan, dan mereka terus menangani cabaran iklim serta faktor luaran lain yang mempengaruhi pendaratan ikan di Labuan,” katanya. – BERNAMA