Berita

Pendakwaan terhadap syarikat pakej umrah berkaitan gagal bayar wang mangsa ditangguh

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 9 Januari 2024 6:00 PM MYT

PENDAKWAAN terhadap sebuah syarikat pengendali pakej umrah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dan dua pengarahnya di Mahkamah Majistret di sini hari ini ditangguh kepada 15 Jan ini.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria memaklumkan bahawa Datuk Dr Zulkarnain Endut, 43, dan isterinya, Datin Mazuin Mustafa, 43, selaku orang kena saman (OKS) dijangkiti COVID-19.

“Hari ini ditetapkan untuk 63 pertuduhan ke atas tiga OKS iaitu syarikat Emraz, Zulkarnain dan Mazuin yang masing-masing mempunyai 21 pertuduhan. Saman telah dikeluarkan pada 5 Jan lepas.

“Namun kedua-dua OKS tidak dapat hadir kerana COVID-19. Oleh itu, kami pohon supaya tarikh prosiding seterusnya ditetapkan pada 15 Jan ini,” kata Mohd Sophian.

Syarikat itu dan pasangan suami isteri tersebut akan berdepan 63 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia supaya membayar balik tuntutan wang RM589,031 kepada 21 mangsa dalam kes ini.

Peguam Datuk Hanif Hassan, yang mewakili ketiga-tiga pihak, mengesahkan dua anak guamnya dijangkiti COVID-19 selain tidak membantah tarikh baharu itu.

“Saya serahkan kepada mahkamah salinan paparan aplikasi MySejahtera (bukti anak guam dijangkiti COVID-19) kepada mahkamah. Zulkarnain dan Mazuin perlu selesai menjalani kuarantin masing-masing pada 12 dan 11 Jan ini,” katanya.

Pada 8 Julai 2023, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata lesen syarikat Emraz Travel digantung selama enam bulan berkuat kuasa dari 10 Julai 2023 hingga 9 Jan 2024.

Menurut Tiong, perkara itu diputuskan selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

Pada 2 April 2023, Lembaga Tabung Haji menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji Emraz Travel & Tours sebagai langkah awal untuk melindungi kebajikan bakal jemaah susulan aduan awam mengenai perkhidmatan umrah yang ditawarkan oleh syarikat itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas