PENCAPAIAN Wilayah Persekutuan mengumpul 75 pingat emas dan melepasi sasaran 70 emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sangat membanggakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata Wilayah Persekutuan memberi saingan sengit kepada semua pasukan negeri di SUKMA yang berlangsung sejak 17 hingga 24 Ogos 2024.
“Secara keseluruhan, Wilayah Persekutuan telah mengumpul sebanyak 212 pingat daripada 408 acara yang disertai menjadikan kita sebagai pengumpul pingat tertinggi dalam SUKMA kali ini.
“Satu pencapaian yang amat perlu kita semua banggakan,” katanya di Facebook.
Beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet, jurulatih, pegawai dan seluruh Kontinjen Wilayah Persekutuan.
“Tahniah juga kepada tuan rumah SUKMA, Sarawak, berjaya menggondol juara keseluruhan pada edisi kali ini.
“Wilayah Persekutuan pula, bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu penutupan SUKMA, tidak kurang hebatnya. Kita adalah naib juara,” katanya. – WILAYAHKU