Berita

Pencapaian luar biasa

- Diterbit 6 September 2024 9:30 AM MYT

PROJEK Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Kuching yang menjadi sebahagian daripada fasa pertama pelan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dengan anggaran kira-kira RM6 bilion telah mengubah landskap pengangkutan, sosial serta ekonomi Sarawak.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata ia satu-satunya negeri wilayah Borneo yang memperkenalkan sistem pengangkutan moden.

“Projek ART akan mengubah landskap pengangkutan sekelip mata apatah lagi satu-satunya negeri di wilayah Borneo yang memperkenalkan sistem moden pengangkutan.

“Ini pencapaian luar biasa pentadbiran Kerajaan Sarawak yang mentransformasikan sistem pengangkutan yang perlu bergerak pantas lebih-lebih lagi selepas Indonesia telah memindahkan ibu negaranya ke Nusantara di Kalimantan Timur,” katanya.

Tambah Mohamad Tawfik, projek itu juga dijangka memudahkan urusan pengangkutan awam buat semua warga Sarawak.

“Saya berpandangan projek ini akan memudahkan dan mempercepatkan pergerakan penduduk,” ujarnya.

Mohamad Tawfik menjelaskan projek itu juga dijangka membuka satu lembaran baharu yang memberi peluang pekerjaan.

“ia dilihat mampu memberikan pemindahan kepakaran terutamanya di dalam bidang pengangkutan bahkan juga town planner,” katanya.

Tegas beliau, projek ART tersebut juga amat signifikan kepada negeri Sarawak.

“Bagi saya projek ini amat penting sebagai penanda aras kepada transformasi sistem pengangkutan Sarawak yang sebelum ini jauh ketinggalan,” ujarnya.

Kata beliau projek tersebut memberi gambaran bahawa Kerajaan Sarawak tidak perlu bergantung harap sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan di dalam membangunkan negeri.

“Projek ini menjadi mercu kejayaan dan kemampuan Kerajaan Sarawak untuk menyediakan prasarana pengangkutan tanpa bergantung kepada kawalan 100 peratus Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri berdasarkan kepada  kemampuan pentadbiran Kerajaan Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan boleh memberi sokongan dari segi nasihat, kepakaran malahan boleh menyumbang peruntukan yang bersesuaian untuk menjayakan projek ART ini.

“Malah kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dan Persekutuan merupakan kunci kepada limpahan pelbagai projek pembangunan lain selepas ini di Sarawak,” katanya.

Sebagai rekod, projek ART Kuching mempunyai tiga garisan iaitu Biru, Merah dan Hijau.

Laluan Garisan Biru, melibatkan perjalanan dari Rembus ke Riveria sepanjang 27.6 kilometer dan operasi ART berkemungkinan dapat dimulakan seawal 2026.

Garisan Merah menghubungkan Kuching Sentral dan Pending sepanjang 12.3 kilometer dan laluan Garisan Hijau dari Pending ke Damai di Santubong sepanjang 30 kilometer. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas