Berita

Pencalonan Anugerah Sastera Negara Ke-16 kini dibuka

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 28 Februari 2024 4:40 PM MYT

PENCALONAN bagi Anugerah Sastera Negara Ke-16, khusus untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan tertinggi bertaraf negara kepada tokoh sasterawan, kini dibuka mulai hari ini hingga 1 April depan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari berkata sehubungan itu DBP mempelawa institusi atau badan yang sah dan berdaftar serta individu yang berwibawa dalam bidang sastera mengemukakan pencalonan bagi anugerah ini.

“Anugerah ini adalah bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan tertinggi bertaraf negara kepada tokoh sasterawan warganegara Malaysia yang masih hidup dan menulis dalam Bahasa Melayu.

“Tokoh itu juga (mestilah) yang menurut penelitian dan penilaian panel telah memberikan sumbangan cemerlang dan berterusan terhadap perkembangan kesusasteraan kebangsaan melalui ciptaan yang kreatif dan sastera yang bermutu tinggi,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Pengumuman Pencalonan Anugerah dan Karya hari ini.

Tambahnya penerima anugerah ini akan mendapat penghargaan dan penghormatan negara, serta hadiah-hadiah antaranya dalam bentuk wang tunai RM60,000, warkah penghormatan negara, penerbitan 50,000 naskhah buku untuk dibeli oleh kerajaan serta kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di hospital kerajaan.

Sementara itu Hazami berkata DBP juga hari ini turut membuka pencalonan rakyat Malaysia bagi Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) (Malaysia) 2023 dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 25 Mac depan.

“Anugerah ini yang telah diadakan sejak 1979 oleh kerajaan Thailand bagi menghargai tokoh penulis dari negara rantau Asean iaitu Thailand, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam.

“Penerima anugerah ini akan mendapat wang tunai dan plak penghargaan daripada penganjur,” katanya.

Hazami turut mengumumkan pencalonan bagi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022, Hadiah Tunas Cipta 2021/2022 dan Hadiah Karya Ilmiah 2021/202 telah dibuka.

“Tarikh tutup penyertaan bagi ketiga-tiga hadiah ini ialah 1 April depan,” katanya.

Beliau berkata borang pencalonan bagi semua anugerah dan hadiah ini serta maklumat lanjut berkaitan syarat penyertaan dan sebagainya boleh dilayari di media sosial DBP. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas