Berita

Penahanan salah: Peguam fail permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap PDRM

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 3 Januari 2024 5:55 PM MYT

SEORANG peguam telah memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM) dan kerajaan berhubung dakwaan salah guna kuasa kerana menangkap dan menahan beliau secara salah pada Oktober 2023.

Rosli Dahlan memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Disember lepas menerusi Tetuan Vin Law Co dan ia telah ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada 19 Februari ini.

Beliau menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urussetia Ketua Polis Negara Datuk Muhammad Hasbullah Ali serta Timbalannya ACP Foo Wei Min dan Pegawai Penyiasat Superintenden Mohd Faizal Mohd Atan sebagai responden pertama hingga kelima.

Turut dinamakan Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, PDRM, JIM dan kerajaan.

Rosli memohon perintah untuk membatalkan keputusan atau tindakan responden pertama hingga kelima yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengaitkan beliau dengan laporan polis berkaitan i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd (i-Serve) yang tiada kena-mengena dengannya.

Beliau juga memohon perintah bahawa tindakan kelima-lima responden yang menyebabkan tangkapan, penahanan dan tahanan reman terhadapnya pada 26 Okt 2023 serta membekukan akaun banknya adalah menyalahi undang-undang serta melanggar hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Peguam itu turut memohon agar mahkamah membatalkan sekatan ke luar negara terhadapnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas