DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pelaksanaan inisiatif Pemutihan Penjaja 2025 bermula 1 Jun ini, sebagai langkah menyusun semula dan memperkasa pengurusan sektor penjajaan di ibu negara.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, DBKL memaklumkan bahawa program tersebut selaras dengan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
“Inisiatif ini akan membuka ruang kepada penjaja tempatan untuk berniaga secara sah, teratur dan profesional, sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat,” jelas kenyataan itu hari ini.
DBKL berkata dua kategori utama dikenalpasti di bawah pelaksanaan ini iaitu Penjaja Beredar Tanpa Kenderaan dan Penjaja Sementara.
“Penjaja Beredar merujuk kepada individu yang menjual barangan tanpa kenderaan secara bergerak, manakala Penjaja Sementara ialah mereka yang menjalankan perniagaan secara statik di lokasi tertentu mengikut waktu operasi yang ditetapkan.
“Aktiviti penjajaan yang dibenarkan termasuk penjualan makanan dan minuman berbungkus, bunga jalanan serta permainan kanak-kanak, dengan lesen ditawarkan melalui bentuk Lesen Waktu Terhad atau Lesen Gerai Tepi Jalan, ” katanya.
Menurut DBKL, permohonan lesen dibuka sepanjang bulan Jun 2025 dan keputusan pemilihan akan diumumkan pada Ogos 2025 selain turut menegaskan bahawa semua permohonan hendaklah dikemukakan secara terus kepada pihak berkuasa tempatan tanpa sebarang perantaraan pihak ketiga.
“DBKL tidak melantik mana-mana wakil atau individu untuk menguruskan permohonan lesen ini. Langkah ini bagi membanteras sebarang bentuk penipuan atau penyebaran maklumat tidak sahih,” tegas DBKL.
Menurut DBKL, maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan dan proses permohonan akan diumumkan melalui Portal Rasmi dan media sosial agensi itu. -WILAYAHKU