Berita

Pemuisi terkemuka seluruh dunia berhimpun rai Ramadan

- Diterbit 20 Mac 2025 2:00 PM MYT

LEBIH daripada 20 orang pemuisi terkemuka dari lebih 10 buah negara termasuk Malaysia dijangka menyertai Program Semarak Puisi Ramadan Sedunia 2025 anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) yang akan diadakan secara dalam talian mulai pukul 10 malam pada 22 Mac.

Menurut Presiden PEMUISI, Datuk Dr Radzuan Ibrahim, program tersebut diadakan bagi meraikan bulan Ramadan yang mulia dengan menyemarakkan puisi, lagu puisi, syair, gurindam, pantun dan monolog bertemakan Ramadan dan ketuhanan.

“Acara tersebut juga bertujuan mempertemukan golongan
pemuisi tempatan dan luar negara yang merupakan KERABAT PEMUISI dalam satu majlis baca puisi.

“Majlis baca puisi seperti ini dapat menjalin hubungan silaturahim dalam kalangan KERABAT PEMUISI sedunia. PEMUISI telah berjaya membentuk rangkaian pemuisi sedunia dan setakat ini sebanyak 28 buah organisasi dari 20 negara telah menyertai KERABAT PEMUISI.

“PEMUISI juga telah mengadakan program seperti ini pada tahun-tahun lepas dan menerima sambutan yang hebat setiap tahun,” tambahnya.

BAGI mereka yang berminat untuk turut serta boleh menghubungi Datuk Dr Radzuan

Beliau turut berharap program itu akan menjadi platform yang mempertemukan pemuisi-pemuisi dunia di bawah satu bumbung yang besar dan sekali gus berinteraksi bagi membuahkan lebih banyak program puisi.

“Saya yakin puisi dapat menyatukan umat manusia seluruh dunia dalam satu nada dan irama, sesuai dengan moto PEMUISI, Suara Kemanusiaan Sejagat. Lebih-lebih lagi kita juga memperjuangkan bahasa Melayu melalui puisi.

“Dengan adanya program seumpama ini, kita dapat menyebarluaskan bahasa Melayu ke seluruh pelosok dunia,” ujar beliau.

Antara pemuisi tempatan yang akan turut serta terdiri daripada Sasterawan Negara, Dr Muhammad Salleh; Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan dan Datuk Dr Lim Swee Tin. Pemuisi luar negara pula, Dr Victor Pogadaev (Rusia); Sita Aulliya (Belanda); Dr Brajesh Kumar Gupta (India) dan Yasmaine Millson (Australia).

Bagi mereka yang berminat untuk turut serta boleh menghubungi Datuk Dr Radzuan (012-2118303) dan Juzaila Ab Satar (019-917 4589) untuk pendaftaran segera kerana tempat adalah terhad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas