Berita

Pemimpin Malaysia bekerja, segala masalah boleh selesai

MASALAH bekalan beras tempatan diatasi melalui projek padi ala Sekinchan di KADA dan MADA. - Gambar hiasan
- Diterbit 29 Disember 2023 8:10 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

SELEPAS lebih setahun, apakah perkataan yang sesuai diletakkan kepada Kerajaan Perpaduan yang bertemakan Malaysia Madani ini? Kerajaan Bekerja.

Itulah gelaran yang sesuai diberikan kepada ­kerajaan. Ini kerana, sejak dari awal penubuhannya, itulah yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan ini, dari perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri dan juga timbalan menteri. Bekerja dan bekerja.

Ekoran itu, banyak masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara ini berjaya diselesaikan oleh kerajaan.

Sebaik sahaja mengangkat sumpah, misalnya, Kerajaan Perpaduan menghadapi masalah kekurangan telur di pasaran. Ia bukan baharu bahkan sudah dialami oleh rakyat negara ini sejak berbulan-bulan lalu kalaupun tidak tahun di bawah kerajaan sebelum ini.

Langkah pertama yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mengumumkan penyelesaian kepada masalah bekalan telur di pasaran dengan mengimport telur.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang baru dilantik, Mohamad Sabu (sekarang Datuk Seri) kemudiannya telah mengumumkan kerajaan bersetuju mengimport telur dari India.

Beliau terbang ke India bagi melihat sendiri bagaimana telur dihasilkan di India. Pembekal telur yang sama juga membekalkan telur ke Qatar ketika negara itu menjadi tuan rumah FIFA 2022 sebelum ini.

Apabila pecah cerita ini, pembekal telur berjumpa dengan Mohamad dan berbincang. Hasilnya persetujuan dicapai dan telur kembali ke pasaran tempatan.

Selepas telur, datang pula isu bekalan beras tempatan yang tidak mencukupi di pasaran ekoran kenaikan beras import akibat cuaca yang tidak menentu. Ada pengeluar beras menukar label beras tempatan ke beras import untuk dijual dengan harga yang lebih menguntungkan.

Kerajaan sedar isu ini sejak sebelum krisis bermula lagi. Lalu perancangan dibuat untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan. Isunya adalah jumlah pengeluaran padi oleh petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) atau lain-lain kawasan yang luas kawasan penanaman padinya, sangat rendah berbanding padi di Sekinchan, Selangor yang diusahakan petani dari keturunan Cina.

Bendang padi di Sekinchan boleh menghasilkan 10 hingga 11 metrik ton per hektar sedangkan di kawasan MADA dan KADA hanya sekitar 3 hingga 4 metrik ton per hektar sahaja.

Melalui hubungan baiknya dengan petani Cina di Sekinchan, Mohamad membawa petani dari Sekinchan itu ke kawasan MADA dan KADA. Mereka diajar cara menanam padi bagi membolehkan hasilnya setinggi padi di Sekinchan.

Hasilnya, melalui projek­padi ala Sekinchan di KADA dan MADA, hasil padi mereka semakin bertambah apabila musim menuai tiba baru-baru ini. Dari 3 hingga 4 metrik ton per hektar, hasilnya­sudah bertambah menghampiri 10 metrik ton per hektar. Ia bakal menyelesaikan bekalan beras tempatan.

Di samping kedua-dua contoh masalah yang klasik ini, banyak lagi kerja yang dilakukan oleh pemimpin Kerajaan Perpaduan untuk rakyat negara ini.

PM Anwar bergerak ke sana ke sini untuk menjual Malaysia sebagai destinasi pelaburan di luar negara. Terbaharu beliau ke Jepun. Sebelum itu beliau ke China dan juga Amerika Syarikat bagi menarik pelabur dari kedua-dua negara kuasa ekonomi dunia itu.

Beliau bolehlah dianggap pemimpin yang paling kuat bekerja untuk negara ini. Beliau berjaya membawa pelaburan RM170 bilion dari China selepas melawat ke negara itu. Selepas pulang dari Amerika, PMX mengumumkan peniaga negara itu bersetuju melabur sebanyak RM63.02 bilion ke Malaysia.

Hubungan baik Anwar dengan pemimpin negara Arab juga menyebabkan mereka sedia membuat pelaburan besar ke negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pula telah mengeluarkan senarai Kerajaan Perpaduan Bekerja – Apa berlaku minggu lepas saban minggu. Dalam risalah yang disebarkan setiap minggu itu, kementerian beliau menyenaraikan 10 perkara yang berlaku sepanjang minggu sebelumnya.

Antaranya makluman bahawa kerajaan sedia mengimport bawang dari China dan Pakistan selepas India menyekat eksport bawang ekoran negara itu dilanda banjir.

Dimaklumkan juga, kerajaan telah mengeksport 217,847 tan minyak sawit ke India bulan November lepas. Ini sudah tentu berita gembira untuk peladang dan petani yang menanam kelapa sawit di negara ini di mana India telah sedia menjadi pengimport minyak sawit Malaysia.

Semua ini berlaku kerana pemimpin Malaysia adalah pemimpin yang bekerja bukannya memakan gaji buta dan sibuk bermain politik untuk mempertahankan kuasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas