MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan pendiriannya untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti akan datang dengan alasan utama untuk memastikan parti kekal stabil dan bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah dan seterusnya Pilihan Raya Umum akan datang.
Ketika menjawab soalan media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini, beliau menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat atas dasar prinsip dan pengalaman sebagai salah seorang pendiri PKR sejak era Reformasi 1998.
“Saya ini orang lama, sentimental dan nostalgik. Sebagai pendiri parti, saya mahu lihat Keadilan ini kuat dan stabil, bukan berpecah kerana pertandingan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa suasana politik kini jauh berbeza berbanding pemilihan-pemilihan terdahulu ketika PKR masih berada di luar kerajaan persekutuan.
Menurut Saifuddin, peranannya dalam memastikan kestabilan parti menjadi lebih penting kerana PKR kini merupakan tonggak utama dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut menyifatkan pemilihan dalaman bukan medan untuk mewujudkan blok-blok kuasa, tetapi sebagai ruang untuk memperkukuh solidariti parti.
“Dalam kerajaan hari ini, PKR adalah nadi utama. Jadi saya pilih untuk tidak bertanding agar tidak mencetuskan polarisasi dalaman. Saya tetap akan memainkan peranan penting sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan Ahli Biro Politik parti,” jelas beliau.
Ketika ditanya tentang gesaan penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, agar perwakilan menyokong Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden, Saifuddin menyambut baik budaya politik tersebut sebagai satu pendekatan matang yang tidak pernah berlaku dalam parti-parti politik lain.
“Keadilan ini unik. Di mana ada pertandingan, kita masih boleh menyatakan sokongan kepada lawan. Rafizi ajak sokong Nurul Izzah walaupun mereka bertanding jawatan sama. Ini budaya politik matang yang harus dikekalkan,” ujarnya.
Beliau juga menafikan bahawa sekiranya Nurul Izzah tidak dipilih, ia menggambarkan penolakan terhadap Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim malah menyifatkan keputusan pemilihan perlu difahami sebagai proses demokrasi dalam parti yang sihat dan terbuka.
“Parti ini wujud atas perjuangan Anwar Ibrahim sejak 1998. Beliau telah melalui pelbagai bentuk kezaliman malah dipenjara, difitnah dan dihina. Tiada siapa boleh menafikan pengorbanan itu. Maka tidak adil untuk mengaitkan pemilihan seseorang calon sebagai ukuran sokongan kepada beliau,” tegas Saifuddin.
Saifuddin turut menyatakan fokus sebenar PKR selepas pemilihan adalah untuk memperkukuh jentera menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijangka berlangsung pada Oktober 2025 serta menzahirkan harapan selepas Kongres Nasional pada 24 Mei, seluruh anggota parti dapat bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu hati.
“Selepas 24 Mei, kita perlu berhenti menoleh ke belakang. Masa depan PKR adalah tanggungjawab bersama. Saya yakin dengan pendekatan yang inklusif, kita akan tampil lebih kukuh menghadapi cabaran politik mendatang,” katanya.-WILAYAHKU