Berita

Pembentangan RUU pekerja gig di Parlimen diharap tak ditangguh lagi

Gambar hiasan
- Diterbit 23 Januari 2025 10:15 AM MYT

PENGERUSI Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap Rang Undang-Undang (RUU) pekerja gig yang dijangka dibentang pada sidang Parlimen akan datang tidak ditangguh lagi.

Beliau berkata RUU pekerja gig memang ditunggu-tunggu dan berharap penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dapat disegerakan bagi memastikan penyusunan dan pengawalseliaan ekosistem industri gig dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kita punya harapan nak percepatkan penubuhan SEGiM. Kita nak pastikan pembelaan diteruskan.

“Apabila ada SEGiM, kita sudah ada ‘one stop centre’ untuk selesaikan masalah seperti kadar tambang, lesen dan sebagainya,” katanya.

Pada 20 Januari lalu, Kementerian Sumber Manusia merancang membentangkan RUU pekerja gig pada sidang Parlimen akan datang dalam usaha melindungi kebajikan pekerja di sektor itu.

Menteri Steven Sim, berkata satu sesi dialog secara besar-besaran akan diadakan bagi kali terakhir dalam masa terdekat, sebelum RUU itu dibawa ke Dewan Rakyat.

Steven memaklumkan terdapat 1.12 juta pekerja gig di Malaysia dan 146 penyedia platform merangkumi 127 platform tempatan serta 19 daripada luar negara.

Seramai 678,000 pekerja gig daripada 20 sektor mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 2 Ogos 2024, termasuk 145,232 pencarum sektor pengangkutan penumpang dan 96,224 pencarum sektor pengangkutan barangan dan makanan.

Pada 22 November tahun lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan perpaduan memaklumkan pembentangan RUU pekerja gig, dijadual dibentangkan di Parlimen pada Disember 2024, ditangguhkan untuk membuka ruang dan peluang bagi lebih banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Mengulas lanjut, Sharkar berkata perlu ada satu punca kuasa sebelum menyelesaikan masalah industri gig.

“Kena ada punca kuasa dan ia hanya boleh dibuat di Parlimen. Di Parlimen akan buat aktanya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas