Berita

Pembantu pengurus klinik ditahan komen berbaur ugutan

KOMEN berbaur ugutan dikeluarkan seorang pengguna media sosial ketika siaran langsung pelantikan Perdana Menteri ke-8 di Istana Negara baru-baru ini.
- Diterbit 4 Mac 2020 4:18 PM MYT

SHAH ALAM – Seorang pembantu pengurus klinik ditahan di Ampang Jaya, kelmarin selepas meninggalkan komen berbaur ugutan membunuh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penahanan suspek wanita berusia 28 tahun itu dilakukan pada pukul 2 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, polis turut merampas telefon bimbit milik suspek yang bekerja di Singapura itu.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak ada latar belakang politik dan dikatakan tidak pernah mengundi,” katanya.

Justeru beliau menasihati pengguna-pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dalam memberikan komen dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan mereka.

Ketika siaran langsung upacara angkat sumpah Perdana Menteri ke-8 di Istana Negara sebelum ini, suspek dengan nama penggunanya, Penny Tai telah meninggalkan komen berbaur ugutan terhadap Muhyiddin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas