PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan beberapa pertemuan penting membabitkan hal ehwal Islam, keselamatan siber, dan hubungan antarabangsa dalam usaha memperkukuh kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Perdana Menteri memulakan hari dengan menerima kunjungan rombongan pondok dan madrasah dari Kelantan di Pejabat Perdana Menteri.
Ujar beliau, dalam pertemuan itu, Perdana Menteri menekankan kepentingan memperkukuh dasar Islam khususnya dalam sektor pendidikan, selain membincangkan pelbagai inisiatif kerajaan dalam membina kekuatan dalaman umat Islam.
“Perdana Menteri amat menghargai pandangan para tuan guru yang menekankan kepentingan pendidikan turath serta usaha memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia. Selain itu, beliau turut menerima nasihat berkaitan memupuk kefahaman, kasih sayang dan kesabaran dalam usaha menjelaskan dasar Kerajaan MADANI kepada rakyat,” katanya pada taklimat harian.
Tambahnya, pertemuan itu turut menyentuh mengebai keperluan mencari titik persamaan dalam isu berkaitan Islam serta hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan negeri Kelantan.
Tunku Nashrul berkata pada sebelah petang, Perdana Menteri dijadualkan menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor.
“Selain memperkukuh hubungan Malaysia-AS, perbincangan juga dijangka menyentuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, terutamanya menjelang Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat,” katanya.
Menurut Tunku Nashrul, dalam usaha memperkukuh keselamatan digital negara, Perdana Menteri turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara Bilangan 1/2025, di mana tiga perkara utama dibentangkan:.
“Antara perkara yang menjadi fokus adalah
Trend penurunan insiden keselamatan siber dari 2023 hingga 2024 menunjukkan langkah mitigasi kerajaan membuahkan hasil,.
” Selling itu, Pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 [Akta 854] diperkukuh dengan pelantikan ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII) serta pakar keselamatan siber dan Penganjuran Cyber Games dan persidangan jenayah siber peringkat ASEAN anjuran NACSA, Council of Europe dan INTERPOL pada Mei 2025,” katanya.
Ujarnya, Perdana Menteri menegaskan kepentingan keselamatan siber dalam era digital dan menyeru pihak berkepakaran tempatan untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara.
Menurutnya, kerajaan yakin dengan keupayaan agensi berkaitan serta institusi pendidikan dan industri tempatan dalam memastikan Malaysia kekal berdaya tahan menghadapi cabaran keselamatan siber masa kini dan masa hadapan.
Pertemuan dan mesyuarat yang berlangsung hari ini mencerminkan komitmen Perdana Menteri dalam memperkukuh aspek agama, keselamatan digital dan diplomasi antarabangsa demi kesejahteraan negara.-WILAYAHKU