Berita

Pembangunan infrastruktur seiring peningkatan ekonomi, catat pencapaian drastik

- Diterbit 7 Januari 2025 5:42 PM MYT

PEMBANGUNAN infrastruktur demi kesejahteraan warga pulau ini antara keutamaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam memacu semula pembangunan Labuan menerusi sektor ekonomi, sosial dan pelancongan.

Zaliha berkata, beliau melihat Labuan memiliki potensi tersendiri yang boleh dimanfaat dan dibangunkan agar tidak  ketinggalan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bagi saya sebagai memegang portfolio menteri yang bertanggungjawab menjaga ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, tidak menafikan bahawa Labuan agak ketinggalan dari segi pembangunan infrastrukturnya.

“Namun saya sendiri melihat perkara itu sebagai satu cabaran yang perlu digalas dan perlu melakukan perubahan yang boleh memacu pulau ini.

“Dalam tempoh setahun ini, saya melihat banyak pencapaian yang dilaksanakan dalam menuju ke arah yang diinginkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam slot Bicara Yang Berhormat Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di LabuanFM, baru-baru ini.

Menurutnya, antara usaha yang telah dilaksanakan adalah menerusi penubuhan tiga pasukan khas yang menumpukan kepada pelancongan, pemindahan kargo dan pembangunan infrastruktur termasuk projek jambatan (Labuan-Menumbok).

“Pasukan ini giat merancang usaha untuk menjadikan Labuan sebagai destinasi utama pelancongan dan perniagaan. Dengan usaha pasukan khas ini telah menunjukkan beberapa peningkatan khususnya pasukan khas pelancongan yang telah mencatatkan rekod peningkatan jumlah pengunjung sebanyak 92.5 peratus daripada 191,776 pengunjung pada 2023 berbanding 369,105 pengunjung bagi tahun 2024.

“Dengan rekod itu, ini adalah satu pencapaian drastik yang mengagumkan dan turut mendapat maklumat persatuan perniagaan di Labuan yang memaklumkan bahawa sektor ekonomi di pulau ini menunjukkan peningkatan berbanding dahulu berdasarkan daripada peningkatan jumlah pengunjung ke Labuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaliha turut memaklumkan antara usaha lain yang sedang dilaksanakan termasuklah kerja-kerja pembaikan sistem dan saluran air paip sepanjang 106.7 kilometer yang membabitkan peruntukan sejumlah RM454.88 juta dan sebanyak 37 kilometer yang telah siap pada Jun lalu manakala selebihnya dijangka siap pada suku pertama tahun depan.

Katanya, dengan langkah yang dilaksanakan itu mampu mengatasi isu gangguan bekalan air yang dihadapi oleh penduduk Labuan.

Ujar beliau, berdasarkan maklum balas orang ramai, gangguan bekalan air dan elektrik telah berkurangan dengan ketara dan pencapaian ini adalah daripada hasil peruntukan yang diluluskan tahun lalu sejumlah RM300 juta bagi mengatasi masalah tersebut.

“Selain itu, kami turut menyalurkan bantuan sebanyak 1,000 buah tangki air kepada penduduk yang mengalami gangguan bekalan air dan kami juga menerima permintaan agak tinggi, kami akan cuba susuli untuk dipertimbangkan demi kesejahteraan penduduk,” ujarnya.

Dr Zaliha berkata, kerajaan turut memberi fokus terhadap pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok (Sabah) sebagai satu pencetus perubahan sosioekonomi di Labuan.

“Kerajaan telah bersetuju memperuntukkan sejumlah RM3 juta di bawah Belanjawan 2025 bagi kajian kebolehlaksanaannya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas