Berita

Pembangunan industri REE: Malaysia terbuka terima kepakaran, pemain industri luar

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 6 Mac 2024 5:20 PM MYT

MALAYSIA mengamalkan dasar terbuka dalam menerima mana-mana kepakaran dan pemain industri dari luar untuk membangunkan sumber nadir bumi (REE) di negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keterbukaan itu terpakai selagi pemain dan pakar terlibat sanggup menerima dasar Malaysia mengenai pembangunan industri tersebut.

“Sama ada mereka dari China atau negara barat, kita tidak ada masalah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau ingin tahu sama ada Malaysia sudah memiliki kepakaran tempatan mengekstrak sumber REE dan rancangan kerajaan untuk menubuhkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi tujuan pembangunannya.

Nik Nazmi berkata keperluan mewujudkan GLC harus diakui mengambil kira perkembangan industri dan justeru itu, cadangan penubuhannya akan dibincang menerusi platform Majlis Mineral Negara (MMN) serta kerajaan negeri mengikut kerangka Perlembagaan sedia ada.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung strategi kerajaan bagi membangunkan industri hiliran REE, Nik Nazmi berkata penyelarasan dasar akan dibuat bersama-sama kerajaan negeri bagi memastikan kedua-dua pihak memperoleh manfaat.

Beliau berkata hal ini penting kerana rizab REE negara dianggarkan sebanyak 16.1 juta metrik tan berdasarkan tinjauan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

“Nilainya sangat besar dan tanpa penyelarasan dari segi dasar, kita khuatir tidak dapat memanfaatkannya.

“Malah dari segi potensi produk huluan hingga ke hiliran, sebenarnya banyak potensi kerana industri automatif termasuk industri kenderaan elektrik sedang giat berkembang di negara kita dan ini mampu menjadi pengguna kepada pengeluaran nadir bumi negara,” katanya.

Menjawab soalan asal Ku Abdul Rahman mengenai kemajuan yang dicapai dalam pengekstrakan dan pembangunan REE serta langkah dalam menangani isu kebanyakan sumber itu berada dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal HSK), Nik Nazmi berkata setakat Januari 2024, sebanyak 7,500 metrik tan nadir bumi karbonat (REC) bernilai RM146 juta telah dieksport ke China dan memberikan pulangan royalti bahan mineral nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) sebanyak RM25.2 juta.

Berhubung isu sumber REE di HSK, beliau berkata buat masa ini dasar sedia ada masih tidak membenarkan perlombongan dijalankan dalam kawasan itu berdasarkan komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok.

Bagaimanapun, katanya dalam perbincangan di peringkat MMN dan Mesyuarat Menteri Besar serta Ketua Menteri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta kementerian itu memperhalusi dan menilai kebolehlaksanaan aktiviti perlombongan NR-REE dalam HSK melalui pembangunan projek perintis perlombongan di kawasan itu.

“Pada masa sama, kementerian telah melantik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dengan kerjasama agensi teknikal berkaitan seperti JMG dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk menjalankan kajian impak aktiviti perlombongan NR-REE secara menyeluruh di pelbagai kawasan termasuk di dalam dan luar HSK.

“Antara kawasan yang dikenal pasti ialah tapak projek perintis di Mukim Kenering dan tapak perlombongan haram Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, Kedah serta kawasan bekas HSK yang telah dinyahwartakan sebelum ini iaitu di Labis, Johor,” katanya. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas