Berita

Pembaharuan semula KL jamin keselamatan penduduk – Wany Hasrita

- Diterbit 26 Januari 2021 9:49 PM MYT

DEMI kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan pembaharuan semula ibu kota agar lebih menarik dan kondusif.

Antaranya adalah penambaikan dan pembinaan semula rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

Penyanyi terkenal Wany Hasrita menganggap pembaharuan ini merupakan manfaat besar buat rakyat terutamanya dari sudut keselamatan. 

“Saya sangat bersetuju pembinaan semula rumah PPR sebab apa yanf ada sekarang usianya agak lama dan usang.

“Jadi pembinaan semula ini amat bagus kerana sudah semestinya boleh menjamin keselamatan penduduk.

“Kalau rumah yang agak lama usianya, risaulah juga. Mungkin boleh jadi keretakan pada bangunan, sistem pencegah kebakaran yang bermasalah atau lif rosak,” jelas Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah,28.

Bagi Wany, rumah PPR yang sudah lama dibina sehingga ada yang lebih 30 tahun usianya wajar diganti atau dibina semula. 

“Jadi bila rumah itu sudah lama usianya, kemungkinan untuk rosak atau menimbulkan masalah itu berisiko tinggi.

“Jadi seelok-eloknya, rumah PPR yang usang atau agak lama, perlulah diganti atau dibina semula demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, penumpuan pembaharuan semula akan diberikan di kawasan brownfields dan greyfields termasuk kawasan yang masih terdapat bangunan dan kediaman usang.

Beliau berkata, program tersebut akan dilaksanakan secara komprehensif dan holistik ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebuah kota yang indah dan selesa dihuni bersesuaian dengan kedudukan sebagai ibu negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas