SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan bekerjasama dengan pihak berkepakaran bagi membasmi kes salah laku tata kelola membabitkan pemain industri perkhidmatan bekalan air.
SPAN dalam satu kenyataan media menyatakan, badan itu mengamalkan ‘Toleransi Sifar’ terhadap amalan rasuah serta salah guna kuasa dalam industri air.
“SPAN komited untuk memastikan tindakan tegas diambil berdasarkan Akta dan bidang kuasanya ke atas mana-mana individu atau organisasi yang disyaki melakukan sebarang ketidakpatuhan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) atau sebarang ketidakpatuhan peraturan semasa yang ditetapkan SPAN.
“Sebagai badan yang mengawal selia industri perkhidmatan air negara, SPAN sentiasa komited dan telus melaksanakan inisiatif ke arah urusan kawal selianya yang adil dan telus berdasarkan peruntukan Akta 655, standard integriti dan amalan etika terbaik.
“Justeru, bagi memastikan kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini seperti Rangka Kerja Integriti dan Anti Rasuah Pemegang Lesen dan Agensi Perakuan (RKIAR), SPAN akan bekerjasama dengan pihak berkepakaran untuk menambah baik RKIAR serta membangunkan satu pelan strategik khusus berkaitan tata kelola dan anti rasuah industri perkhidmatan air,” memetik kenyataan dikeluarkan SPAN.
Pelan Strategik itu akan dibangunkan melalui pendekatan bersesuaian untuk meneliti amalan, sistem atau tatacara terbaik agar industri itu bebas daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Pembasmian amalan rasuah itu juga dijangka dapat memastikan pengamalan tadbir urus yang terbaik di kalangan pemain industri perkhidmatan air. Antaranya menetapkan fokus ke atas proses perolehan yang telus dan terbuka serta memantapkan pengawalseliaan ke atas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan pemegang lesen. – WILAYAHKU