Berita

Pemandu lori didenda RM4,000 lakukan ugutan jenayah

- Diterbit 14 Disember 2020 7:03 AM MYT

GARA-GARA mengugut seorang lelaki menggunakan parang semalam, seorang pemandu lori didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali  menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Sritheran, 39, selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah.

“Anda didenda RM4,000 untuk kesalahan ini dan jika gagal membayar denda, anda boleh dipenjara selama sebulan,” kata Fardiana.

Sritheran didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Hariaran Armageri, 41, di Taman Lawa, Jalan 17/42, Segambut di sini semalam, menggunakan sebilah parang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya berkata beliau menyesal atas tindakannya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas