Berita

Pemaju bakal terima insentif bina Perumahan Madani

AZMAN ABIDIN
- Diterbit 10 November 2023 12:20 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY & SYED HAZIQUE

PEMAJU yang menjalankan ­projek rumah mampu milik di Kuala Lumpur akan menerima ­insentif ­sebagai ­sebahagian ­daripada usaha kerajaan untuk ­meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan warga kota.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin ­berkata ­insentif itu termasuk ­yuran pembangunan yang ­lebih murah dan kepadatan yang lebih tinggi untuk projek mereka.

“Kami telah mengenal pasti ­beberapa tanah kosong di ibu ­negara, dan ia telah diperuntukkan untuk pembangunan, termasuk membina projek perumahan.

“Projek-projek ini ­adalah ­sebahagian ­daripada inisiatif Perumahan Madani dan disasarkan kepada golongan B40 dan M40,” katanya.

Beliau ­berkata ­demikian ketika ­sidang media ­mengenai ­pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.

Azman berkata di bawah ­program insentif itu, pemaju yang ­menjalankan projek rumah mampu milik juga akan dibenarkan nisbah plot yang lebih tinggi.

“Sebagai contoh, mereka ­mungkin dibenarkan membina ­sehingga 1,400 unit setiap ekar,” ­katanya, sambil menambah angka itu akan dikurangkan untuk projek yang ­lebih mahal.

Sementara itu, Azman ­berkata melalui pewartaan PSKL2040, ­pihaknya turut mengenal pasti ­beberapa tapak terbiar dan ia telah ditukar kepada zon komersial dan perindustrian.

Beliau juga menambah bahawa beberapa perumahan awam di Kuala Lumpur telah diperuntukkan untuk program pembaharuan bandar.

Azman berkata DBKL turut ­menerima lebih 1,000 ­bantahan ­berhubung PSKL2040 ­kebanyakannya mengenai ­perlindungan kawasan hijau dan kolam tadahan.

“Sesi pendengaran awam telah ­diadakan untuk mengumpulkan ­input daripada pihak ­berkepentingan, dan beberapa input ­mereka telah dimasukkan ke dalam rancangan itu,” katanya.

Ujar Azman, orang ramai boleh mendapatkan salinan dokumen ­berharga RM120 di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas