Berita

Pelihara ekosistem, buru ikan asing

MENJALA merupakan antara aktiviti utama dalam Program Memburu Ikan Asing bertempat di Sungai Kuyoh‚ Bukit Jalil.
- Diterbit 4 Oktober 2024 4:18 PM MYT

SERAMAI 250 peserta mengambil bahagian dalam Program Memburu Ikan Asing bagi mengekang populasi spesies ikan asing invasif daripada terus membanjiri perairan umum yang boleh menjejaskan spesies ikan asli.

Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Azahari Othman berkata ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan ekosistem perairan.

“Program anjuran Pejabat Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya dengan kerjasama RHB Bank Berhad ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat RHB yang melibatkan penyertaan daripada kakitangan DOF, RHB Bank Berhad dan komuniti pemburu ikan asing.

“Aktiviti utama program ini termasuk menjala ikan serta pelepasan benih ikan tempatan yang disumbangkan oleh RHB
Bank Berhad. Ini merupakan langkah penting dalam usaha jabatan untuk memulihara sumber perikanan.

“Kerjasama dengan RHB Bank Berhad menunjukkan bahawa usaha pemeliharaan sumber perikanan tidak boleh dilakukan oleh pihak kerajaan sahaja tetapi memerlukan sokongan daripada sektor korporat dan semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab memelihara sumber perikanan.

“Semoga selepas ini lebih ramai lagi sektor swasta turut serta dalam usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan yang dilaksanakan oleh DOF.

“Pihak kami juga sangat menghargai sumbangan dari RHB Bank Berhad bagi pelepasan benih ikan tempatan. Dengan pelepasan benih ikan ini, kita bukan sahaja berusaha untuk memperkayakan biodiversiti di kawasan berkenaan, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam usaha pemeliharaan sumber perikanan,” ujarnya.

Tambahnya, dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan sumbangan 20,000 benih ikan puyu dan 10,000 benih ikan lampam dari RHB Bank Berhad kepada Pejabat Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya sebagai simbolik pelepasan benih ikan yang akan dilakukan di Tasik Varsiti, Universiti Malaya dan Sungai Gombak.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata di bawah Strategi Together We Progress 24 (TWP24 RHB) pihaknya menekankan sokongan kepada komuniti rentan termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), melalui sokongan kepada perniagaan kecil dan inisiatif pemuliharaan alam sekitar.

“Kami berbangga menjadi sebahagian dari program ini. Pihak kami memberi tumpuan kepada ancaman spesies ikan invasif di sungai tempatan di mana aktiviti seperti ini bukan sahaja memelihara biodiversiti, malah membantu memulihkan ekosistem dan melindungi spesies ikan tempatan yang terancam.

“Ia juga dapat membantu membina hubungan antara kakitangan, pelanggan dan komuniti serta menyokong matlamat kelestarian jangka panjang dan tanggungjawab sosial korporat kami,” ujarnya.

Terdahulu, Program Memburu Ikan Asing diadakan pada 28 September 2024 bertempat di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil dan mencatatkan jumlah pendaratan ikan sebanyak 159.54 kilogram (kg) bagi tilapia dan pleco. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas