Artikel

Pelihara bahasa ibunda warisan budaya Malaysia

- Diterbit 14 Jun 2024 12:00 PM MYT

SEKILAS pandang, bahasa mungkin dilihat hanya sebagai alat komunikasi. Walau bagaimanapun, ia lebih daripada sekadar set perkataan dan peraturan tatabahasa.

Bahasa adalah kunci kepada kepelbagaian budaya dan linguistik dan merupakan bahagian asas identiti seseorang. Bahasa ibunda adalah sebahagian daripada warisan budaya setiap bangsa.

Bahasa ibunda adalah istilah yang merujuk kepada bahasa leluhur (ancestral language) sesuatu kelompok etnik.

Dalam konteks ini, ia adalah salah satu daripada beberapa kaedah utama yang membolehkan kelompok berkenaan menyebar dan menurunkan tradisi, sejarah, seni dan adat resam serta mewariskan budayanya dari generasi ke generasi.

Bahasa sentiasa menjadi agenda penting dalam matlamat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Hak mempelajari dan menggunakan bahasa ibunda adalah hak asasi manusia yang termaktub dalam Perisytiharaan Bangsa-Bangsa Bersatu sehingga Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa telah diluluskan dan diiktiraf pada Persidangan Umum UNESCO tahun 1999.

Ia disambut setiap tahun pada 21 Februari bermula pada tahun berikutnya untuk mempromosikan kesedaran kepelbagaian bahasa dan budaya.

Segala usaha penggunaan bahasa ibunda bukan sahaja sebagai galakan kepelbagaian linguistik dan pendidikan multilingual bagi meningkatkan kesedaran terhadap bahasa ibunda, bahkan juga sebagai wadah perpaduan berasaskan kefahaman, toleransi dan dialog pelbagai budaya di dunia ini.

Melihat kepada kepentingan pemeliharaan warisan bangsa di Malaysia yang unik dengan kepelbagaian bangsa serta pertuturan dalam pelbagai bahasa ibunda, Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa telah mula disambut pada tahun 2003 di negara ini.

Bahasa ibunda adalah tradisi dan sejarah bagi setiap negara dan harus terus hidup dan dipertahankan sebagai satu tradisi, budaya, seni dan sains selain sejarah sesuatu bangsa.

Malaysia merupakan sebuah negara unik yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik. Antara bangsa yang terbesar di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India yang masing-masing mempunyai pelbagai bahasa dan dialek tersendiri.

Kepelbagaian bahasa yang dituturkan oleh semua kaum ini mewarnai kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Namun demikian, walaupun semua bahasa memainkan peranan sosialnya dan kita meraikan semua bahasa, dalam masyarakat berbilang bahasa, ada bahasa yang mendapat keutamaan lebih daripada yang lain. Pertembungan adakalanya akan menyebabkan pengekalan dan peralihan kepada sesuatu bahasa itu sendiri.

Peralihan bahasa (language shift) adalah fenomena linguistik yang menarik dan tidak dapat dielakkan terutama dalam masyarakat minoriti yang tinggal di dalam negara yang mengamalkan dasar dwibahasa yang bersandar kepada satu bahasa yang dominan.

Pemodenan yang pesat menyebabkan kesan pergeseran bahasa berbeza daripada satu komuniti bahasa ke satu komuniti bahasa yang lain.

Faktor-faktor yang boleh mendorong kepada pengekalan dan peralihan bahasa antaranya adalah demografi, sosioekonomi, sosiopolitik dan sosial seperti pendidikan, perkahwinan, penghijrahan, sikap dan nilai. Fenomena globalisasi dan era teknologi maklumat juga memberi kesan terhadap penggunaan isu ini.

Di samping itu, banyak bahasa semakin hilang setiap hari kerana penguasaan beberapa bahasa utama dunia dalam sumber maklumat. Sumber maklumat ialah semua sumber yang menyediakan maklumat, sama ada kandungan teks, bahan audio dan video, imej atau bentuk data lain.

Separuh daripada 6,700 bahasa yang dituturkan pada hari ini di seluruh dunia bakal lenyap sebelum penghujung abad ini jika tiada tindakan segera oleh kerajaan-kerajaan dan komuniti penutur yang terbabit.

Program Bahasa Terancam UNESCO menggerakkan kerjasama antarabangsa untuk memberi tumpuan kepada permasalahan ini di samping menggalakkan penyelesaian inovatif kepada komuniti, pakar dan pihak yang terlibat.  – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas