PUNCA kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada 13 November lalu adalah disebabkan strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelatih tersebut disahkan meninggal dunia pada pukul 2.01 pagi.
Menurut beliau, siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan sehingga kini polis telah mengambil keterangan sembilan saksi termasuk pengadu iaitu bapa pelatih terbabit.
“Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah menerima laporan polis dibuat bapa mangsa, 15 November lalu, menyatakan beliau menerima panggilan telefon daripada Hospital Shah Alam pada 10 November tentang anaknya dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pengadu dimaklumkan rakan anaknya bahawa kejadian berlaku semasa sesi latihan di padang kawad yang diambil oleh seorang jurulatih PALAPES UiTM Shah Alam dan telah pengsan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Hussein berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa menyertai PALAPES di UiTM Shah Alam sejak penghujung Oktober lalu dan menjalani ujian kecergasan sebelum latihan asas PALAPES bermula 2025.
Katanya, pada hari kejadian, mangsa didenda melakukan tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan dalam sesi larian.
“Mangsa dilihat melompat-lompat sebelum terjatuh rebah. Mangsa dirawat di Wad Kecemasan Zon Merah dan ketika rawatan mangsa dalam keadaan separa sedar dan mengalami suhu badan yang tinggi.
“Rawatan awal sudah diberikan dalam usaha untuk hidrasi mangsa bagaimanapun ia tidak memberikan tindak balas positif. Mangsa kemudian mengalami kekejangan dan rawatan susulan telah diberikan sebelum beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.
“Tiada terkesan sebarang kecederaan luaran pada badan mangsa,” katanya.
Beliau menambah, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Asisten Superintendan Mohd Khairi Kamaruddindi talian 012-2666025.
Terdahulu media melaporkan seorang pelatih PALAPES universiti berkenaan meninggal dunia pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.
Bapa pelatih terbabit juga mendakwa kejadian itu membabitkan penderaan secara fizikal.
Dalam laporan kepada polis, bapa mangsa mendakwa anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.
Ekoran itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan Cawangan Provos Marsyal, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang menyiasat kes tersebut. – WILAYAHKU