PELARASAN Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mestilah berdasarkan prestasi yang cemerlang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata SSPA yang dirangka itu bukanlah semata-mata pembaharuan yang akan dinikmati oleh semua penjawat awam.
Menurutnya, penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas dan sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan ketua jabatan tidak akan diberikan ganjaran.
“Namun ianya adalah satu sistem saraan yang berteraskan prestasi. Siapa yang cemerlang, akan dapat ganjaran, siapa gagal mempamer prestasi yang baik, akan dikenakan tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dalam pada itu, Anwar berkata penyelarasan gaji awam hanya akan diberikan kepada yang benar-benar layak sahaja.
Beliau berkata ini selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam.
“Ini juga bagi menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan,” katanya.
Dalam pengumumannya itu, Anwar berkata kerajaan bersetuju agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Disember ini.
Beliau berkata SSPA itu mengandungi semangat Reformasi Perkhidmatan Awam yang dikehendaki bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI.
“Tiga ikhtiar untuk menjayakan agenda itu adalah pertama meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.
“Kedua meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan dan ketiga meningkatkan daya saing negara,” katanya. – WILAYAHKU