Berita

Pelantikan KSN sebagai Pengerusi ST tidak bertentangan dengan Garis Panduan Tatakelola

PUTRAJAYA, 12 Ogos -- Ketua Setiausaha Negara yang baharu Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar (tengah) ketika sidang media selepas mengimbas kad perakam waktu untuk memulakan tugas beliau di Bangunan Perdana Putra, hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
- Diterbit 18 Februari 2025 11:33 AM MYT

PELANTIKAN Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) berkuat kuasa 1 Januari 2025 adalah secara sementara sehingga calon baharu dikenal pasti dan dilantik selaras dengan peruntukan seksyen 5(2) Akta 610.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air (PETRA) memaklumkan, berdasarkan akta tubuh ST tiada peruntukan yang menghalang daripada penjawat awam untuk dilantik sebagai anggota.

“Oleh itu, pelantikan KSN sebagai Pengerusi ST adalah tidak bertentangan dengan perkara 3.3.7 Surat Pekeliling Am Bilangan 5 Tahun 2024.

“Tambahan pula, KSN selaku ketua kepada semua penjawat awam di Malaysia tidaklah dibebankan malah dapat memudahkan pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan perkembangan ekonomi terutamanya melibatkan pengurusan tenaga negara,” katanya.

PETRA berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta penjelasan menteri berkenaan pelantikan KSN sebagai Pengerusi ST.

Jelas PETRA, pelantikan Pengerusi ST adalah berdasarkan peruntukan seksyen 5 Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 [Akta 610].

“Akta tersebut yang menyatakan sebarang urusan pelantikan, pembatalan pelantikan atau peletakan jawatan Anggota Suruhanjaya adalah di bawah bidang kuasa Menteri yang bertanggungjawab bagi perkara-perkara yang berhubungan dengan pembekalan elektrik iaitu Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dengan persetujuan Menteri yang bertanggungjawab.

“Manakala bagi perkara-perkara yang berhubungan dengan pembekalan gas ia berada di bawah tanggungjawab Perdana Menteri,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas