Berita

Pelantikan Kamarulzaman pengiktirafan kemampuan pegawai DBKL

- Diterbit 17 April 2023 9:54 AM MYT

PELANTIKAN Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu merupakan cerminan kepada pengiktirafan kemampuan warga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mentadbir bandar raya Kuala Lumpur ke arah lebih cemerlang kata Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Jelas beliau, pelantikan tersebut juga pasti dapat meningkatkan daya saing bandar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Cabaran besar ini semestinya akan dapat digalas melalui kerjasama yang erat dalam keluarga besar DBKL.

“Saya percaya seluruh warga DBKL turut menaruh harapan yang tinggi terhadap beliau dalam tempoh pelantikan beliau dari 17 April 2023 hingga 14 Ogos 2024 untuk terus mengemudi pembangunan
dan kesejahteraan Kuala Lumpur sebagai ibu negara yang kita cintai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur diantara Kamarulzaman dengan Datuk Seri Mahadi Che Ngah di Menara DBKL hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin.

Rosida turut menzahirkan keyakinan bahawa Datuk Bandar baharu akan menyambung usaha gigih peneraju terdahulu dalam memastikan kelestarian dan kesejahteraan ibu kota ini terus dipelihara dan dipertingkatkan selari dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Seperti yang kita sama-sama dapat saksikan, sepanjang tempoh perkhidmatan Datuk Seri Mahadi Che Ngah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, DBKL telah mencapai pelbagai kejayaan dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

“Usaha beliau ke arah pewujudan bandar raya rendah karbon menjelang tahun 2030 serta bandar raya bebas karbon menjelang tahun 2050 telah memacu Kuala Lumpur ke arah sebuah bandar raya bertaraf dunia berorientasikan matlamat pembangunan mapan,” katanya sambil menambah sudah pasti segala inisiatif tersebut tidak akan dapat dilaksanakan tanpa iltizam, kesungguhan dan integriti yang ditunjukkan Mahadi.

Dalam pada itu, Rosida berkata sebagai peneraju dan penetap hala tuju Pihak-pihak Berkuasa Tempatan Wilayah Persekutuan, JWP mempunyai tanggungjawab dalam memastikan Konsep Malaysia Madani dimanifestasi sebagai ikhtiar yang bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan program di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan lebih manusiawi serta sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

“Walaupun Datuk Bandar Kuala Lumpur mempunyai ruang autonomi dalam menguruskan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, adalah penting Datuk Bandar Kuala Lumpur dan DBKL memastikan tindakan-tindakan yang diambil selari dengan hala tuju yang ditetapkan oleh JWP,” katanya.

Ujarnya, JWP juga bertanggungjawab mencetus dan memangkinkan mekanisma kerjasama yang inovatif di antara Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi mewujudkan sinergi tenaga dan sumber serta masyarakat di ketiga tiga Wilayah Persekutuan untuk memenuhi aspirasi
Kerajaan yang lebih luas dalam konteks pembangunan ekonomi dan sosial negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas