Berita

Pelaksanaan SSPA mampu tarik minat OKU sertai perkhidmatan awam

- Diterbit 12 November 2024 4:09 PM MYT

PELAKSANAAN Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diyakini mampu menarik minat lebih ramai golongan orang kurang upaya (OKU) menyertai sektor perkhidmatan awam.

SSPA akan berkuat kuasa mulai 1 Disember ini selepas kerajaan bersetuju agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada skim baharu berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, SSPA menawarkan struktur gaji dan elaun lebih kompetitif selain peluang kenaikan pangkat.

Malah katanya, ia menjamin pembangunan kerjaya yang lebih baik dalam skim itu.

“Semua kelebihan urusan pengambilan pegawai OKU di bawah SSM akan dikekalkan dalam SSPA ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai pelaksanaan SSPA dalam mengukuhkan serta memastikan sasaran satu peratus OKU menyertai perkhidmatan awam tercapai.

Dr Zaliha memberitahu, dengan kelebihan-kelebihan ditawarkan SSPA, pihaknya menggalakkan lebih ramai OKU untuk memohon dalam perkhidmatan awam.

Terdahulu beliau berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sentiasa menyarankan kementerian, jabatan atau kerajaan negeri supaya meningkatkan peluang OKU mengisi kekosongan jawatan.

Ia katanya, mengkhusus kepada skim perkhidmatan yang tidak mensyaratkan ukuran fizikal dan pancaindera bagi mencapai dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU.

“Bagi tahun lalu, SPA telah menerima 6,177 permohonan daripada calon OKU berbanding 1.19 juta keseluruhan permohonan.

“Seramai 92 orang calon OKU telah dilantik berbanidng jumlah keseluruhan pelantikan sebanyak 25,520 orang,” katanya.

Tambahnya, sehingga 30 September lalu, SPA telah menerima 4,805 permohonan berbanding 1.13 juta keseluruhan permohonan.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 44 orang OKU dilantik berbanding jumlah keseluruhan pelantikan sebanyak 13,491 orang.

“SPA membuat pelantikan berdasarkan merit dan kompetensi seseorang calon. Syarat pelantikan OKU adalah sama dengan calon lain iaitu berdasarkan syarat lantikan skim perkhidmatan yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam dan keperluan Ketua Perkhidmatan seperti keutamaan bidang pengajian, kelayakan serta lokaliti atau jantina,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas