Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel dijangka pertengahan Jun – CIMB Investement

- Diterbit 23 Mei 2024 10:44 AM MYT

CIMB Investment Bank Bhd menjangkakan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api akan bermula seawal pertengahan Jun 2024.

Unjuran ini sejajar dengan bayangan daripada kerajaan baru-baru ini bahawa rasionalisasi akan bermula dengan diesel, kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

“Tarikh pelaksanaan tidak dinyatakan, namun kami difahamkan bahawa pendaftaran untuk sistem ‘fleet card’ (diesel bersubsidi) dijadualkan pada bulan depan, jadi Jun dijangkakan menjadi tarikh paling awal.

Sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali pada Februari lepas menyatakan rancangan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel menjelang Jun 2024.

Menurut Perdana Menteri, penjimatan daripada penyasaran subsidi diesel itu dianggarkan sebanyak RM4 bilion, bersamaan dengan 0.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setahun.

CIMB Investment Bank menggariskan dua peringkat permohonan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) 2.0.

Ini termasuk permohonan kepada KPDN untuk mendapatkan kebenaran, dengan kelulusan mengambil masa sehingga dua hari, dan permohonan kepada syarikat minyak untuk mendapatkan ‘fleet card’ yang dianggarkan mengambil masa sehingga empat minggu.

Proses permohonan SKDS 2.0 untuk syarikat yang mengendalikan sembilan jenis kenderaan pengangkutan barang bermula pada 7 Mac dan telah diperluaskan kepada 14 jenis kenderaan komersial tambahan setakat 13 Mei.

“Pada tahap ini, masih tidak jelas sama ada individu yang layak memiliki kenderaan berkuasa diesel perlu memohon bantuan tunai, atau sama ada kerajaan akan menggunakan maklumat daripada pangkalan data PADU,” kata bank pelaburan itu.

Pangkalan Data Utama, atau PADU, berfungsi sebagai repositori berkomputer untuk menyimpan dan mengurus maklumat mengenai utiliti dan butiran berkaitan.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas