Berita

Pelaksanaan pusingan kerja petugas kaunter tingkat kualiti perkhidmatan awam

Gambar hiasan
- Diterbit 4 Februari 2025 11:03 AM MYT

INISIATIF pusingan kerja petugas kaunter melibatkan semua kementerian yang bermula hari ini dilaksanakan bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ia juga bertujuan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di kaunter.

Menurut beliau, selain itu ia bertujuan meningkatkan kemahiran petugas kaunter, memastikan kepelbagai kemahiran kerja serta memperkasa pengalaman pelanggan dengan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra.

“Melalui pusingan kerja ini, petugas kaunter akan diberikan pendedahan kepada pelbagai aspek tugas di kaunter, membolehkan mereka menangani pelbagai pertanyaan dan urusan pelanggan dengan lebih efisien,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Ahmad Dahlan memberitahu, langkah itu sejajar dengan matlamat reformasi perkhidmatan awam untuk mewujudkan sistem kerja yang lebih dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Katanya, pelaksanaan pusingan kerja itu melibatkan semua kementerian utama termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, serta beberapa kementerian lain yang terbabit secara langsung dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Jelas beliau, melalui program itu, petugas kaunter akan diberikan latihan berkala dan pemantauan berterusan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Kerajaan yakin bahawa dengan pelaksanaan pusingan kerja petugas kaunter, perkhidmatan awam negara akan terus diperkukuh dan mampu memberikan pengalaman yang lebih baik kepada rakyat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas