Berita

Pelaburan saham BAIRD: Kerani syarikat swasta rugi RM1 juta

- Diterbit 19 Februari 2025 3:16 PM MYT

SEORANG wanita berusia 65 tahun yang juga kerani di sebuah syarikat swasta mengalami kerugian RM1 juta selepas membuat 11 transaksi untuk menyertai pelaburan saham BAIRD yang diiklankan di Facebook.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor telah menerima satu laporan polis di Petaling Jaya berkaitan kes penipuan berkenaan.

Jelas beliau, pada pertengahan Disember tahun lalu, mangsa telah berminat untuk menyertai pelaburan berkenaan di laman Facebook dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp.

“Kumpulan WhatsApp itu ditadbir oleh individu iaitu seorang wanita. Mangsa dijanjikan pulangan yang lumayan sehingga 40 peratus.

“Bagi tujuan pelaburan tersebut, mangsa diminta membuat 11 transaksi di tiga akaun bank yang berbeza berjumlah RM1 juta,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, baru-baru ini mangsa bercadang membuat pengeluaran keuntungan namun diminta terlebih dahulu mendepositkan wang RM309,208.

Jelasnya, mangsa sedar telah diperdaya apabila gagal memperoleh keuntungan seperti dijanjikan.

“Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memperdaya mangsa melalui iklan pelaburan di Facebook,” katanya.

Untuk itu jelasnya, polis memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial.

Katanya, ini terutamanya pihak yang menjanjikan pulangan keuntungan yang tidak munasabah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas