Berita

Pejabat PM kecam Meta sekali lagi turunkan hantaran pertemuan PM Anwar bersama pimpinan Hamas

- Diterbit 31 Julai 2024 5:02 PM MYT

PEJABAT Perdana Menteri mengecam tindakan pihak Meta Platforms Inc (Meta) yang sekali lagi menurunkan hantaran gambar perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar daripada aplikasi Instagram, semalam.

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook hari ini berkata tindakan itu ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.

“Sehubungan itu pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf,” menurut kenyataan itu yang turut dikongsikan pada akaun media sosial rasmi Perdana Menteri.

Perdana Menteri pada 14 Mei lepas berkongsi gambar pertemuan bersama pemimpin Hamas termasuk Ismail Haniyeh di media sosial rasmi beliau, namun Meta bertindak menurunkan hantaran itu tidak lama kemudian.

Tindakan itu dikecam, sehingga Meta bertindak memuat naik semula hantaran berkenaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas