PEMASANGAN panel solar photovoltaic (PV) pada tiga bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mencatat pengurangan 10 hingga 15 peratus dalam bil elektrik antara Januari dan Oktober 2024.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, pengurangan dalam penggunaan elektrik tersebut menunjukkan pihaknya telah menyumbang kepada pelepasan karbon yang lebih rendah sekali gus mencerminkan komitmen amalan mampan.
“Inisiatif ini mempamerkan usaha nyata kami untuk membantu pemilik bangunan di Kuala Lumpur mengubah landskap bangunan mereka. Saya menyeru semua pemilik perniagaan di sini untuk mencontohi usaha ini demi menjadikan premis pejabat neutral karbon,” katanya ketika berucap pada Forum Pelaburan Bandar Hijau (GCIF) 2024 di ibu negara.
Menurutnya, DBKL sebelum ini telah menerbitkan Pelan Pengurusan Tenaga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 2050 untuk mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
“Pelan itu juga memanfaatkan kecekapan tenaga di lebih 27 bangunan miliknya dan berpotensi untuk mengurangkan jejak karbon bandar sehingga 180,000 tan pelepasan CO2 dalam tempoh 25 tahun,” katanya.
Maimunah berkata pihaknya komited untuk meletakkan ibu negara sebagai model untuk pertumbuhan bandar hijau menerusi lima bidang tumpuan dan 15 program perdana.
“Kuala Lumpur yang hijau dan berdaya tahan menjadi ciri utama visi saya untuk Kuala Lumpur serta Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 untuk memenuhi aspirasi untuk menjadi bandar neutral karbon menjelang 2050.
“DBKL sedang giat berusaha untuk meningkatkan daya tahan, mengurangkan pelepasan karbon serta mewujudkan ruang inklusif yang memberi manfaat kepada warga kota,” katanya.
Beliau percaya bahawa kawasan terbuka awam dan kawasan hijau dapat membantu mempromosikan kesejahteraan masyarakat.
“Pada masa ini, kami mempunyai lebih 16 taman awam, lebih 400 taman rekreasi termasuk taman kejiranan, 25 taman poket dan banyak kawasan lapang lain termasuk plaza dan kawasan tepi sungai.
“Memandang ke hadapan, rancangan kami adalah pembangunan 110 kawasan lapang dan 10 taman poket akan diwujudkan dalam masa terdekat, ” katanya.