KEPUTUSAN penduduk untuk memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan pemulihan sebelum mengambil tindakan undang-undang disambut baik oleh peguam, Yusfarizal Yusoff.
Beliau berkata, pendekatan itu adalah langkah yang wajar kerana ia membolehkan penduduk meneliti semua fakta serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab sebelum memutuskan tindakan seterusnya.
“Penduduk perlu memperoleh laporan siasatan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu. Jika terdapat banyak anomali dalam kejadian, mereka boleh mendapatkan penilaian pakar bebas bagi mengukuhkan asas tindakan,” katanya dalam perkongsian di Facebook, hari ini.
Yusfarizal menjelaskan bahawa dalam kes kecuaian, terdapat tiga elemen utama yang perlu dipenuhi sebelum tindakan undang-undang boleh difailkan terhadap mana-mana pihak.
“Pertama, perlu ada kewajipan berjaga-jaga (duty of care) di pihak defendan. Dalam kes ini, perlu ditentukan sama ada pemaju, syarikat berkaitan, pihak berkuasa tempatan atau mana-mana entiti lain mempunyai tanggungjawab itu.
“Kedua, berlaku pelanggaran terhadap tanggungjawab berjaga-jaga itu (breach of duty of care), yang bermaksud wujud kegagalan atau kecuaian dalam tindakan mereka.
“Ketiga, kerosakan (damage) yang berlaku mestilah berpunca secara langsung daripada kecuaian itu (causation), bukan disebabkan faktor lain yang tidak berkaitan,” katanya.
Menurutnya, pihak terjejas digalakkan memberi ruang kepada penyelesaian di luar mahkamah sebelum mengambil tindakan perundangan kerana proses undang-undang boleh memakan kos, masa dan tenaga yang tinggi.
“Dalam banyak keadaan, penyelesaian awal jauh lebih baik untuk semua pihak agar dapat meneruskan kehidupan. Justeru, peluang ke arah rundingan atau pampasan harus dibuka,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan memulihkan keadaan terlebih dahulu termasuk aspek harta benda, fizikal serta mental sebelum memberi fokus kepada tindakan undang-undang.
“Proses perundangan boleh memenatkan dan memerlukan tenaga yang banyak. Maka, pemulihan harus menjadi keutamaan sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya.
Mengulas mengenai had masa untuk tindakan undang-undang, Yusfarizal berkata, Akta Limitasi memberikan tempoh sehingga enam tahun untuk memfailkan saman sivil, manakala bagi kes yang membabitkan kerajaan, had masa adalah tiga tahun.
“Jadi, masih ada ruang untuk meneliti semua aspek sebelum membuat keputusan mengenai tindakan yang akan diambil,” katanya.
Terdahulu media tempatan menemubual wakil penduduk mengenai perancangan masa depan mereka termasuklah mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung di dalam insiden tersebut-WILAYAHKU