Berita

Peguam Nik Nazmi serah surat tuntutan kepada Chegubard

Kredit foto: Facebook Nik Nazmi Nik Ahmad
- Diterbit 28 Disember 2023 11:15 AM MYT

MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad melalui peguamnya telah menyerahkan Surat Tuntutan (Letter of Demand) kepada Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Nik Nazmi berkata surat tuntutan itu antara lain meminta agar Chegubard menarik balik dengan serta-merta serta memohon maaf secara terbuka atas kenyataan berunsur fitnah itu.

“Beratnya tuduhan palsu ini memerlukan tindakan undang-undang yang tegas untuk menjaga nama baik dan kewibawaan saya, Kementerian dan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu tindakan yang diambil beliau adalah sebagai respons kepada kenyataan fitnah yang dibuat oleh Chegubard terhadapnya.

Nik Nazmi berkata dengan berlangsungnya prosiding undang-undang, pihaknya mengesahkan dedikasi terhadap ketelusan dan pematuhan kepada proses undang- undang.

“Pada masa yang sama, kami mengalu-alukan sebarang siasatan oleh pihak polis untuk bertindak ke atas dakwaan yang dibuat oleh Chegubard,” katanya.

Terdahulu Chegubard melalui sidang media mendedahkan berlaku ketirisan dan amalan rasuah dalam urusan projek tebatan banjir yang dibawah kawalan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas